Friday 22 September 2017

Pekerja Asing Dipuji Alih Kereta Sendat Di Tangga


SINGAPURA – Sekumpulan pekerja asing yang membantu memindahkan sebuah kereta tersendat, dipuji netizen setelah aksi menjadi tular selepas rakaman video insiden itu dimuat naik semalam.

Menurut seorang pelakon tempatan, Garett Lim yang merakamkan video tersebut, dia keluar berlari-lari anak pada petang Khamis apabila terdengar bunyi yang kuat pada pukul 6.40 petang di Waterway Point di Punggol.

Rupa-rupanya ia disebabkan oleh sebuah kereta Honda berwarna kelabu yang salah membelok ketika melalui kawasan parkir pusat beli-belah itu sebelum kenderaan berkenaan akhirnya tersendat di tangga.

“Saya dan beberapa orang lain, kami pada mulanya tanpa berfikir panjang mengeluarkan telefon bimbit masing-masing dan mengambil beberapa gambar keadaan tersebut,” kata Lim kepada agensi berita tempatan Mediacorp.

Pada masa itu, sekitar tiga pekerja asing cuba memindahkan kereta tetapi tidak berjaya. Lim menambah, beliau melihat mereka mengambil telefon bimbit masing-masing dan mungkin berfikir untuk merakamkan kejadian itu.

Namun ternyata, mereka sebenarnya memanggil kawan-kawan untuk datang menolong. Pada sekitar jam 7 malam, sekurang-kurangnya 10 lagi pekerja datang ke pusat beli-belah itu untuk membantu memindahkan kereta tersebut.

Pelakon kemudian berkongsi insiden luar biasa itu menerusi laman Facebooknya yang kemudian menjadi tular apabila dikongsi lebih 1,300 kali sejak ia dimuat naik sejurs kereta berkenaan berjaya dialihkan sepenuhnya.

Menurut Lim beliau amat tersentuh dengan kesediaan kumpulan pekerja warga asing itu untuk hadir membantu sementara orang lain pula yang menyaksikan insiden tersebut cuma setakadar memerhati tanpa berbuat apa-apa.

“Para pekerja binaan ini, mereka boleh kata: ‘Selepas kerja keras, saya tidak mahu diganggu’. Tetapi mereka secara spontan tetap bantu dan cuba melakukan apa sahaja untuk tolong pemandu yang dalam kesusahan,” katanya.

Setelah kereta tersebut berjaya dikeluarkan, Lim berkata bahawa para pekerja berkenaan hanya tersenyum sesama mereka dan kemudian terus meninggalkan tempat kejadian itu seolah-olah tiada apa-apa pun yang berlaku.

“Ia seperti sebahagian daripada kehidupan mereka – seolah-olah ia bukan sesuatu istimewa. Saya menonton banyak filem adi wira, saya berpendapat mereka adalah hero sebenar kerana mereka tidak mengharapkan apa-apa balasan.”

Mediacorp melaporkan, hasil usaha pekerja terbabit, kereta tersebut akhirnya dipindahkan ke tepi jalan. Namun cuba bayangkan jika mereka tidak berbuat demikian? – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments