Saturday 30 September 2017

Lelaki ‘Kayu’ Amuk Di Cheras Kena Hukum Jel 10 Hari


MASIH ingat insiden amukan lelaki ‘kayu’ yang berlaku di Cheras, Kuala Lumpur beberapa hari lepas sehingga mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan masyarakat?

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dilaporkan telah menjatuhkan hukuman penjara selama 10 hari dan denda sebanyak RM3,000 terhadap lelaki berkenaan, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin, suspek didakwa mengikut Seksyen 189 Kanun Keseksaan berikutan tindakan menghalang tugas penjawat awam.

Susulan itu, suspek, Ong Kok Cheng turut dijatuhkan hukuman penjara 10 hari bermula daripada tarikh penangkapan pada Selasa lepas.

Jelasnya lagi, sekiranya suspek gagal membayar denda yang ditetapkan, dia boleh dikenakan hukuman penjara selama lima bulan.

“Sekiranya gagal menjelaskan denda tertuduh boleh dipenjara selama lima bulan,”katanya dilaporkan Harian Metro.

Dalam kejadian kira-kira 12.46 tengah hari, beberapa penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ‘diserang’ oleh seorang lelaki yang tidak berpuas hati selepas kereta miliknya dikapit di Taman Segar, Cheras.


Ia bermula apabila anggota tersebut mengapit tayar kereta suspek kerana didapati telah melakukan kesalahan dengan meletakkan kenderaan tersebut di luar petak yang sepatutnya.

Kemudiannya, anggota itu telah menerima arahan daripada Pusat Panggilan DBKL yang meminta kembali ke lokasi bagi membuka kapit tayar kerana suspek dikatakan mahu membayar denda.

Bagaimanapun, berlaku sedikit perbalahan antara tertuduh dengan anggota penguat kuasa yang mencetuskan ketegangan.


Insiden tersebut telah dirakam dan video berdurasi kurang daripada lima minit itu tular di laman sosial sehingga kini.

Berdasarkan aduan polis yang diterima, suspek ditahan Rabu lepas dan direman selama tiga hari sebelum dijatuhkan hukuman, semalam. – MYNEWSHUB.CC/AmyMaizura

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments