Friday 29 September 2017

Seorang Lagi Ditahan Bantu Kes Pukul Sampai Mati


GEORGE TOWN – Seorang lagi lelaki yang diburu bagi membantu siasatan berhubung kes memukul seorang lelaki Jumaat lepas hingga mati ditahan awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Anuar Omar berkata lelaki berusia 38 tahun yang beralamat di Flat Kampung Melayu, Air Itam itu ditahan di rumah rakannya di Batu 9, Cheras, Kajang, Selongor kira-kira pukul 3 pagi.

“Lelaki yang tidak bekerja itu kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes itu,” katanya di sini, hari ini.

Selasa lepas polis menahan rakan lelaki terbabit yang disyaki turut terlibat dalam kejadian itu. Dalam kejadian pada pukul 10 malam Jumaat itu Lim Kok Boon, 33, mati ketika dirawat di Hospital Pulau Pinang pada Isnin selepas dipukul dengan topi keledar di kawasan tempat pembuangan sampah di Blok B, Flat Kampung Melayu kerana disangka polis.

Sementara itu di Bukit Mertajam, polis menahan lelaki berusia 29 tahun yang disyaki pengedar dadah dan merampas pil ecstacy, pil eramin 5 dan syabu bernilai hampir RM10,000 di Taman Sri Rambai pada pukul 11.45 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata semasa ditahan lelaki yang positif dadah dan terlibat dalam kegiatan itu sejak awal tahun ini sedang memandu kereta Mini Cooper, dipercayai dalam perjalanan menghantar bekalan dadah kepada pembeli. – BERNAMA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments