Tuesday 26 September 2017

11 Kg Emas Disamun Dari Kilang Memproses Emas


BUTTERWORTH – Sekumpalan lelaki bersenjatakan kapak dan penukul melarikan beg berisi jongkong emas dan barang-barang kemas seberat 11 kilogram bernilai RM1.9 juta dari sebuah kilang memproses emas di Jalan Siram, di sini hari ini.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Roslee Chik berkata dalam kejadian kira-kira 9.45 pagi itu, tiga lelaki turun dari kereta jenis Perodua Bezza berwarna merah berhampiran kilang itu dan menyerang dua lelaki membawa beg berisi emas dan barang-barang kemas.

“Semasa kejadian, dua lelaki yang merupakan pekerja di kilang itu membawa beg berkenaan berjalan ke kenderaan mereka di hadapan premis itu untuk menghantar stok barang kemas ke kilang di Kuala Lumpur.

“Tiga lelaki terbabit mengarahkan mereka menyerahkan beg yang dibawa dan mengugut akan mencederakan dua pekerja itu jika enggan menyerakan beg berisi barang kemas itu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata seorang pengawal keselamatan yang berada di tingkat satu bangunan kilang berkenaan menyedari kejadian samun itu dan melepaskan empat das tembakan ke arah suspek dan terkena kenderaan suspek.

Polis menemukan empat kelongsong peluru di kawasan kilang itu.

Roslee berkata tiga lelaki terbabit kemudian melarikan diri dengan kereta yang menunggu di kawasan itu. Seorang lelaki yang memandu kereta itu menunggu di dalam kereta berkenaan.

Beliau berkata kereta digunakan suspek ditemui di Taman Ampang Jajar pada pukul 2 petang, kira-kira 5 kilometer dari kilang berkenaan.

“Suspek turut meninggalkan pakaian yang mereka pakai semasa kejadian di dalam kereta itu dan dipercayai melarikan diri menggunakan kenderaan lain. Polis melancarkan Ops Tutup termasuk di sempadan negara untuk mengesan mereka,”katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi polis untuk menyalurkan maklumat. – BERNAMA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments