Thursday 28 September 2017

Tembok Purba Jadi ‘Mangsa’ Dipanjat Budak


BEIJING – Satu tembok batu purba di bandar Zhengding dekat sini ini berisiko mengalami kerosakan selepas sering dipanjat pengunjung.

Beberapa gambar yang tular di Internet menunjukkan pengunjung memanjat tembok setinggi 60 meter di bandar wilayah Hebei itu tanpa peralatan keselamatan.

Satu gambar menunjukkan beberapa kanak-kanak turut riang memanjat tembok itu dengan ibu bapa mereka hanya memerhati dari bawah.

Media China malah melaporkan bahawa beberapa pengunjung dewasa pula dilihat memanjat setinggi enam hingga tujuh meter.

Seorang pegawai perbandaran memberitahu, pengunjung tidak dibenarkan memanjat tembok itu dan pihak berkuasa mengambil langkah untuk mengelak aktiviti itu berulang.

Katanya, pengunjung mula memanjat tembok itu selepas lokasi itu dibaik pulih pada Julai lalu.

Beberapa pengguna media sosial juga mengecam tindakan pengunjung itu kerana bimbang ia boleh merosakkan tembok purba berkenaan.

“Saya tidak faham mengapa ibu bapa hanya melihat anak mereka memanjat tembok itu.

“Pasti semua orang menyedari bahayanya selepas ada pengunjung yang jatuh dan mati,” katanya.

Tembok sepanjang 12 kilometer itu mula dibina pada era dinasti Jin dan lokasi berkenaan dipertimbangkan untuk disenaraikan dalam tapak Warisan Dunia Unesco. – Agensi/myMetro Online

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments