Friday 29 September 2017

Wang Tunai RM100,000 ‘Lesap’ Dalam Lima Saat


AKIBAT lalai, seorang wanita terpaksa menanggung kerugian sehingga lebih RM100,000 apabila wang tersebut dikatakan lesap dalam masa lima saat.

Wanita tersebut dilaporkan menjadi mangsa ragut ketika sedang menjamu selera di sebuah restoran di Taman Equine, Seri Kembangan, Serdang, Selangor pada Jumaat lalu.

Kejadian berlaku sekitar jam 12 tengah hari ketika seorang lelaki dikatakan muncul secara tiba-tiba kemudian mendekati meja makan mangsa sebelum merampas tas tangan yang berada di kerusi bersebelahan.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias, sebelum kejadian suspek dikesan keluar daripada sebuah kereta yang terletak berhampiran dengan premis berkenaan.

“Suspek melarikan diri menggunakan dua kenderaan. Pemeriksaan terhadap kenderaan itu mendapati nombor pendaftaran yang digunakan adalah palsu.

“Kejadian ragut itu menyebabkan mangsa kerugian wang tunai berjumlah RM117,630. Menurut keterangan mangsa, wang itu adalah pinjaman daripada saudara-mara dan milik diri sendiri.

“Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Seri Kembangan di sini, sejurus kejadian,” katanya dipetik Harian Metro.


Tambah Megat, pihaknya segera menjalankan siasatan sebelum lapan lelaki termasuk dua lelaki warga Indonesia ditahan bagi tujuan membantu siasatan.

Bagaimanapun, enam daripada lapan suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis. Manakala, baki dua lagi suspek yang merupakan warga Indonesia telah direman.

“Semua suspek ditahan di sekitar Seri Kembangan, di sini, Isnin lalu.

“Hasil soal siasat yang dijalankan, enam lelaki tempatan terbabit dilepaskan dengan jaminan polis, manakala dua lelaki warga Indonesia itu direman hingga 6 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang lelaki yang dilihat keluar daripada sebuah kereta jenis perodua Myvi berwarna perak mendekati premis.

Kemudiannya, merampas beg milik wanita tersebut yang diletakkan bersebelahan tempat duduknya.

“Lelaki itu kemudian masuk semula ke dalam kereta sebelum melarikan diri. Terdapat sebuah lagi kereta jenis sama berwarna kuning kelihatan mengekori kenderaan dinaiki suspek,” jelas Megat. – MYNEWSHUB.CC/AmyMaizura

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments