Saturday 30 September 2017

Reka Bentuk Universiti Ini Dikecam Macam Jamban


BEIJING – Sebuah bangunan universiti di wilayah tengah China dikecam pengguna internet kerana reka bentuknya kelihatan seperti jamban, menurut laman sesawang berita tempatan.

Netizen malah mempertikaikan struktur seni bina blok 12 tingkat itu yang terletak di Universiti Teknologi Sumber Air dan Kuasa Elektrik China Utara di bandar raya Zhengzhou di wilayah Henan, lapor portal Vcg.com.

Menurut akhbar berpusat di Hong Kong, South China Morning Post, pengguna media sosial malah bergurau bahawa reka bentuk bangunan hadapan kelihatan macam mangkuk tandas dan belakangnya seperti tangki jamban.

Bahkan bahagian bumbung di blok pusat pengajian tersebut kelihatan seperti tudung tandas jika dilihat dari udara. “Ia kelihatan agak jelek dan begitu pelik,” kata seorang pengguna internet yang tidak didedahkan identitinya.


Sekitar 86 juta yuan (RM54.7 juta) dilaburkan dalam bangunan unik yang direka untuk membantu graduan kolej memulakan perniagaan mereka sendiri, lapor South China Morning Post. Bangunan itu dibuka tahun lalu.

Namun menurut laporan akhbar berbahasa Inggeris itu lagi, ada juga kalangan pengguna internet yang bersikap lebih terbuka dan positif mengenai kejanggalan reka bentuk bangunan universiti baharu tersebut.

“Saya tidak dapat melihat sebarang inovasi dan keindahan di bangunan, tetapi pereka itu berjaya jika ia menyasar membantu graduan tempatan untuk berjaya,”tulis seorang netizen. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments