Tuesday 26 September 2017

Kesan Gigitan Buah Bantu Temui Pelancong Korea


KUANTAN – Kesan gigitan buah menjadi petunjuk kepada pasukan pencari dan penyelamat untuk menemui seorang lelaki, pelancong Korea Selatan yang dilaporkan hilang di sebuah pusat pelancongan di Bentong dekat sini, sejak tiga hari lepas.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supt. Mohamad Mansor Mohd Nor berkata Kim Chae Won, 71, ditemui dalam keadaan lemah pada pukul 3 petang hari ini, berdekatan dengan kawasan berair yang terletak kira-kira 1.5 kilometer daripada pusat kawalan tempat kejadian.

Beliau menambah Kim ditemui oleh Zainal Ali, 26, dari Kampung Sungai Paga, Pos Koyan, Kuala Lipis, yang merupakan seorang daripada 31 Orang Asli yang menyertai operasi mencari dan menyelamat.


“Orang Asli telah mengesan buah yang dimakan berada di atas tanah dan penelitian mereka mendapati kesan itu adalah gigitan manusia dan bukannya disebabkan haiwan.

“Oleh itu, pencarian diteruskan di kawasan sekitar yang membawa kepada penemuan mangsa. Terdapat buah-buahan di sekitar mangsa yang dipercayai menjadi sumber makanannya sepanjang hilang,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Mohamad Mansor menambah Kim berjaya dibawa ke pusat kawalan pada pukul 4 petang menggunakan pengusung yang diperbuat daripada kayu dan baju oleh pasukan penyelamat dan Orang Asli tersebut.

Beliau berkata Kim dihantar ke Hospital Bentong dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.


Kim yang sedang bercuti bersama-sama keluarganya dilaporkan hilang selepas mengunjungi kawasan Japanese Tea Berjaya Hills Resort pada pukul 3.30 petang, Jumaat lepas.

Selain masyarakat Orang Asli, operasi pencarian turut melibatkan 21 pegawai dan anggota polis, unit anjing pengesan (K9), 22 pegawai dan anggota Bomba dan Penyelamat serta pasukan keselamatan Berjaya Hills. – BERNAMA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments