Monday 25 September 2017

Hans Isaac Terima Kata Maaf Zizan Razak


TINDAKAN pelawak dan pelakon, Zizan Razak yang telah menyinggung perasaan sesetengah pihak ketika menjadi pengacara untuk Festival Filem Malaysia 29 (FFM29) malam kelmarin masih menjadi bualan hangat.

Bagaimanapun, Zizan telah membuat permohonan maaf kepada kedua-dua artis berkenaan dan juga institusi istana di atas keterlanjuran kata-kata sewaktu majlis.

Pelakon, Datuk Hans Isaac pula dikatakan telah menerima permohonan maaf tersebut dan berbincang secara baik dengan Zizan.


Hans atau nama sebenarnya, Gerald Hans Isaac turut mengambil keputusan untuk melupakan sahaja perkara yang terjadi pada malam Ahad lepas.

“Saya dan Zizan sudah berbincang dan dia minta maaf. Saya pun dah maafkan Zizan. Dah berbincang dengan dia.

“Sekarang ini kita pandang ke depan dengan kerja dan kehidupan. Terima kasih,”kata Hans memetik mStar Online.

Tambah Hans lagi, beliau berharap agar peminatnya dan Zizan dapat hormat menghormati antara satu sama lain serta tidak menggunakan sebarang kata yang kasar di laman sosial miliknya.

Dalam pada itu, Hans juga dilihat telah memuat naik satu video dalam akaun Instagram di mana memaparkan beliau membuat kenyataan bahawa telah memaafkan Zizan.


Jelasnya lagi menerusi video berkenaan, isu antara mereka berdua kini sudah selesai dan tiada lagi perkara yang perlu dibangkitkan.

“Saya rasa kita patut hormat satu sama lain. Ini ialah adat kita. Ada kata-kata agak kasar dalam Instagram saya.

“Kepada dua pihak, peminat saya dan Zizan, Hormati satu sama lain. Jangan guna kata-kata kasar.

“Maaf satu sama lain. Antara kami sudah berbincang dan anda semua pun kena selesaikan,” katanya.

Sebelum ini, Hans ada meluahkan rasa kesal atas keterlanjuran kata-kata Zizan yang membuat jenaka agak keterlaluan sehingga menjejaskan imej dirinya.


Di mana Zizan mengusik kononnya gelaran Datuk yang diperoleh pelakon berkenaan adalah dibeli. Selain Hans, pelakon Eizlan Yusof juga turut terkena ‘tempias’ gurauan tersebut. – MYNEWSHUB.CC/AmyMaizura

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments