Saturday 23 September 2017

Gunung Agung Bakal Meletus, Bali Kini Berwaspada!


DENPASAR – Beribu-ribu penduduk terpaksa dipindahkan daripada puluhan kampung yang berhampiran sebuah gunung berapi aktif di pulau Bali, menurut para pegawai Indonesia.

Media tempatan melaporkan, status berjaga-jaga iaitu 2 kemudian dinaikkan kepada 3 atau paras tertinggi. Ini bermakna Gunung Agung terletak hanya 75 kilometer dari sini mungkin meletus pada bila-bila masa sahaja.

Pihak berkuasa tempatan memberi amaran kepada pelancong dan penduduk supaya jangan berkhemah atau melakukan pendakian dalam radius 9 kilometer dari kawah gunung setinggi 3,142 kilometer dari paras laut itu.

Ini kerana gegaran seismik gunung tertinggi di pulau peranginan tersebut sudah dapat dirasakan di beberapa kawasan dan kepulan asap telah kelihatan di salah satu tempat pelancongan yang paling popular di dunia itu.

“Aktiviti gunung berapi masih lagi tinggi dan terdapat beberapa tanda magma yang naik ke permukaan sehingga menyebabkan berlaku gegaran,” kata Sutopo Purwo Nugroho daripada Badan Pengurusan Bencana Nasional.


Namun, penerbangan di lapangan terbang antarabangsa Ngurah Rai di sini beroperasi seperti biasa dengan hanya terdapat sedikit gangguan terhadap pengendali pelancongan di seluruh pulau terkenal itu, kata pihak berkuasa.

Hampir 10,000 orang sudah dipindahkan setakat ini dan jumlah penduduk dipindahkan akan meningkat. Beberapa penduduk kelihatan sudah membungkus dan memunggah barangan mereka ke dalam lori khas yang disediakan.

Indonesia memiliki 130 gunung berapi aktif, iaitu jumlah yang jauh lebih tinggi berbanding negara-negara lain. Kali terakhir Gunung Agung meletus ialah pada 1963 mengorbankan 1,148 nyawa dan ribuan yang lain pula cedera.

Ketika itu, cecair lahar berapi mengalir lebih tujuh kilometer dalam masa 20 hari manakala debu letusan mampu terbang sejauh 10 kilometer. Gunung ini terletak 1,227 kilometer dari Jakarta. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments