Thursday, 17 August 2017

Rakan saman bapa pengantin kerana kedekut beri 'ang pao' RM368


TAIWAN - Pemberian 'ang pao' di majlis makan malam perkahwinan adalah budaya dalam komuniti kaum Cina dan ia perlu dilakukan dengan betul. Jika beri terlalu sedikit, anda akan dilabel sebagai kedekut. Jika beri terlalu banyak pula, anda dikatakan menunjuk-nunjuk.

Baru-baru ini, lapor World of Buzz, seorang lelaki Taiwan bernama Lee, menganjurkan majlis makan malam perkahwin untuk anak lelakinya. Majlis itu diadakan di Toayuan dan kos bagi satu meja adalah NT$20,000 (RM2,833), lapor China Press.

Lee juga menjemput rakannya, Leow, yang dikenalinya lebih dari 30 tahun ke majlis makan malam perkahwinan anaknya itu.

Pada hari majlis itu diadakan, Leow datang bersama anak perempuannya dan memberi ang pao berjumlah NT$2,600 (RM368) untuk keluarga pengantin lelaki. Bagaimanapun Lee menganggap jumlah yang diberikan itu terlalu sedikit kerana dia mengharapkan Leow memberi lebih banyak. Sedangkan rakannya yang lain memberi ang pao bermula dari NT$3,600 (RM510) ke atas.

Selepas majlis itu, Lee masih tidak dapat menerima kenyataan itu dan mula mengutuk rakan lamanya itu. Lee menyifatkan Leow kedekut kerana tidak memberi ang pao mengikut 'harga pasaran'. Malah, Lee turut mengutuk Leow di dalam group chat aplikasi Line dan menuduh Leow mengambil kesempatan ke atasnya.

Tidak berapa lama kemudian, Leow mendapat tahu mengenai tindakan Lee yang sengaja mengaibkannya itu, lalu membawa kes itu ke mahkamah dan memfailkan saman fitnah terhadap Lee.

Dalam Mahkamah, Leow mempertahankan dirinya dengan mengatakan bahawa dia tidak mempunyai sumber pendapatan yang lain kerana dia sudah bersara. Dengan jumlah kewangan yang terhad di akaun bank, dia bukan saja perlu berbelanja dengan bijak, malah berjimat cermat agar dapat melalui saki baki hayatnya.

Mengenai isu ang pao yang dibangkitkan oleh Lee, Leow menjelaskan bahawa dia telah melakukan yang terbaik dan amaun yang diberikan itu tidak sepatutnya menjadi isu dan diperbesar-besarkan oleh Lee.

Lagipun, mereka telah berkawan lebih dari 30 tahun, Lee tidak sepatutnya terlalu berkira tentang ang pao memandangkan ia hanyalah tradisi.

Pendakwa raya menasihatkan Leow menggugurkan saman terhadap rakannya itu bagi menyelamatkan persahabatan mereka. Tetapi Leow enggan berbuat demikian dan mahu meneruskan tindakan saman terhadap Lee yang telah mengaibkannya. - The Reporter

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments