Friday 11 August 2017

Marah Program Terdedah, Ateis Ugut Kerajaan Malaysia


KUALA LUMPUR – Tidak sampai seminggu selepas dibongkarkan MYNEWSHUB, Atheist Republic mula bertindak biadab apabila berani mengugut Kerajaan Malaysia yang diterajui UMNO-BN.

Ini termasuk menerusi tekanan daripada pihak masyarakat antarabangsa agar tidak akan mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap ribuan ahlinya dari kalangan Melayu murtad yang menyertai kelab haram itu.

Menurut laporan portal tempatan Menara.my yang terkenal dengan berita hal ehwal Islam, ugutan itu dikeluarkan ekoran proses siasatan dilakukan oleh pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ke atas ahli-ahlinya.

Ia susulan tindakan Atheist Republic sendiri melakukan provokasi dengan mengumumkan kewujudan ahlinya dari kalangan golongan Melayu ateis dan pembukaan pejabat kedutaan haramnya di Kuala Lumpur pada 3 Ogos lalu.

“Wahai Kerajaan Malaysia, jauhi daripada ahli-ahli Atheist Republic di negara kamu. Dunia sedang memerhatikan,” tegas Ketua Pengarah Eksekutif Atheist Republic, yang dikenali sebagai Allie Jackson dengan nada penuh angkuh!

Beliau dengan selamba turut mengumumkan beberapa siri tindakan lain yang sedang mereka ambil bagi ‘melawan’ usaha siasatan yang giat dilakukan oleh pihak berkuasa agama Islam dengan rakan kerjasama mereka di Malaysia.

Allie juga dilaporkan memohon seorang sahabatnya di Belgium, Wendy-Kjell Deboyser-Vandenberghe agar meminta bantuan kedutaan Belgium di Kuala Lumpur untuk mendapatkan bantuan guaman secara percuma bagi mereka.

Beliau berkata, “Salah seorang ahli kami sedang disoal siasat oleh pihak polis. Nampak gayanya, mereka memang sedang memburu ahli-ahli kita. Dapatkan mana-mana bantuan guaman secara pro-bono, amat-amat membantu.”


Ditanya jika tindakan tekanan pihak antarabangsa mahupun bantuan guaman tidak membantu, Allie mengatakan bahawa mereka sedang mempertimbangkan rancangan untuk melarikan diri ke luar negara atas nama suaka politik.

“Kami sedang mengusahakan beberapa perkara kecemasan. Rancangan mendapatkan suaka politik dan sebagainya sebagai perancangan alternatif,” katanya lagi. Ini turut disahkan seorang ahli Atheist Republic Kuala Lumpur.

Adrian Sergiusz yang berasal dari Poland dan berkhidmat di Rafflesia International & Private Schools sebagai guru, sedang berusaha keras mendapatkan suara masyarakat antarabangsa untuk terus ‘menekan’ Kerajaan Malaysia.

“Beberapa orang ahli kita mungkin menghadapi risiko bakal dihukum penjara, reputasi mereka dan keluarga mereka meletakkan mereka sendiri dalam risiko yang agak besar,” jelas beliau yang dipetik oleh portal berkenaan lagi.

Salah seorang pengasas Atheist Republic di Malaysia, Chal Chalida pula menganggap kekecohan yang berlaku ketika ini setelah aktiviti perhimpunan mereka ditularkan media adalah sesuatu yang remeh dan tidak perlu dirisaukan.

Beliau berkata, “Isu ini akan berlalu sebab mereka ini memang akan update (kemas kini) benda baru sejam sekali. Tenanglah. Selepas 24 jam, sudah ada lebih kurang 24 benda baru mereka share (kongsi). Lama-lama orang lupa.”

Setakat ini kumpulan ateis tempatan itu mungkin cuba menyembunyikan aktiviti ‘bawah tanah’ mereka dan berkongsi menerusi akaun media sosial tertutup agar gagal dihidu pihak berkuasa. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments