Saturday, 19 August 2017

Gempar! Murid Tanya 'Lepas Sunat Boleh Rogol Kan'


SEORANG guru agama dikejutkan dengan soalan berkaitan rogol yang diajukan salah seorang muridnya.

“Ustaz, kalau selepas sunat saya boleh rogol orang kan?” soalan itu membuat guru berkenaan tergamam buat seketika.

Perbualan antara guru dan murid itu dikongsi seorang aktivis sosial di laman sosial pada lewat malam Jumaat selepas diceritakan oleh seorang sahabatnya.

Mohd Fadhli Othman dari Gerakan Malaysians Against Pornography yang turut terkejut dengan perkara itu berkata, generasi muda seawal sekolah rendah sudah terdedah dengan perkataan ‘sensitif’ seperti rogol.

“Itu belum lagi kita tanya ‘awak tahu ke rogol tu apa?’. Dalam erti kata lain budak sekolah ini sedia maklum tentang seksual.

“Saya tidak yakin rogol yang dimaksudkan oleh kanak kanak itu adalah sentuh atau ‘ringan-ringan’. Ini kerana kanak-kanak akan mudah merakam atau mengingat bila mereka mendengar dan melihat,” katanya kepada mStar Online.

Bimbang dengan keadaan murid terbabit di luar sekolah, aktivis yang juga penceramah dan pengasas bagi modul ‘Goodbye Pornography’ (Selamat Tinggal Pornografi) turut mempersoalkan mengenai pergaulan anak kecil itu.

“Adakah penggunaan gajetnya dipantau ibu dan ayahnya?,” soalnya mengenai kemungkinan ia disebabkan pengaruh pornografi.

Jika berdepan dengan situasi sama, Mohd Fadhli yang juga seorang guru memberitahu, murid tersebut akan ditanya mengapa mengajukan soalan berkenaan.

Berdasarkan jawapan itu baharulah mencari puncanya yang mungkin daripada pergaulan atau pengaruh filem dan penggunaan telefon bimbit yang tidak terkawal.

“Kedua, rasionalkan konsep sunat (khatan) yang sebenar dalam Islam dan apa manfaat sunat dari sudut kesihatan.

“Kaitkan juga dengan konsep mumaiyiz dan baligh. Maka di sini penerapan baik buruk pahala dosa dapat diterapkan (sekiranya Islam). Jika bukan Islam terapkan nilai manusiawi. Tiada manusia atas dunia mahu lakukan kerosakan,” kata Mohd Fadhli.

Beliau menambah, murid perlu dijelaskan mengenai apakah itu rogol dan kesan buruknya yang akan berlaku kepada manusia.

“Kita perlu jelaskan rogol itu bertentangan dengan fitrah manusia dan ia juga bertentangan dengan Islam dan mana-mana agama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya semua pihak terutama ibu bapa, guru dan institusi agama menggembleng tenaga dalam memerangi pornografi.

“Kita perlu bersama-sama dan berganding bahu sekiranya sedar bahawa virus ini sangat bahaya dan mampu memusnahkan generasi muda,” kata Mohd Fadhli. – mStar Online

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments