Friday 11 August 2017

Didera Ibu Sendiri, Anak Terpaksa Makan Dedak Tikus


BULAN April lalu, seorang ibu yang tidak berperikemanusiaan telah ditahan oleh pihak polis Britain kerana mendera anak kandungnya sendiri sejak pemuda itu berusia enam tahun.

Shristine Copley, 66, didapati bersalah kerana mengurung anaknya di dalam bilik gelap, menyebat dengan menggunakan tali anjing serta memaksa anaknya, Andrew Copley berdiri di luar rumah dalam keadaan bogel!

Akibat penderaan itu, anaknya, terpaksa menahan lapar selama 10 tahun sehingga dia terpaksa mengambil keputusan untuk makan makanan tikus belanda dan anjing peliharaan keluarga itu bagi meneruskan hidupnya.

Ketika perbicaraan pada April lalu, Hakim Mahkamah Exeter Crown United Kingom, Erik Salomonsen menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun dan Christine turut disabitkan kesalahan sebanyak enam pertuduhan.


“Pada saya, tiga tahun adalah tempoh hukuman yang pendek, tetapi ia tempoh panjang untuk membuktikan saya bercakap benar. Saya tidak panggil dia ibu, saya panggil dia Christine.

‘Ini kerana tiada ibu yang sanggup melakukan perkara yang kejam terhadap anaknya sendiri,” kata pemuda tersebut yang kini sudah berusia 38 tahun yang dipetik media tempatan.

Selepas ibunya itu berpisah dengan bapanya sejak dia kecil lagi, Andrew sering dilayan dengan teruk dan bukan seperti layanan yang patut diterima sebagai anak kandung. Kini dia tinggal bersama dengan datuk dan neneknya.

“Sejak saya lahir, dia tidak mahu saya dan harap saya mati ketika dilahirkan kerana inginkan anak perempuan.” katanya yang mengakui didera sejak usia enam tahun hingga membuatkan badannya jadi kebal.

Malah Christine akan merendam Andrew ke dalam mandian ais untuk mengurangkan kesan lebam selepas memukul anaknya itu. Bukan itu sahaja, kesemua hadiah Krismas yang diterimanya akan diambil dan dijual.

“Saya sangat kurus kerana tidak diberi makan sehingga terpaksa meminta sisa makanan dari pelajar di sekolah atau makan makanan tikus belanda dan biskut anjing untuk meneruskan hidup.”

Christine juga akan meminta wang daripada Andrew ketika dia mula bekerja di sebuah pusat video. Dan jika dia tidak memberi wang yang diminta, dia akan dipukul dengan botol kaca.

“Ini adalah kes teruk penderaan kanak-kanak. Sejak 1980, ada penekanan dan fokus yang lebih besar terhadap perlindungan kanak-kanak oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk melindungi mereka.

“Sistem dan proses kini diperketatkan untuk mengenal pasti risiko penderaan, meningkatkan kesedaran menerusi agensi perkongsian, serta menawarkan campur tangan atau sokongan untuk mengelakkan individu dari risiko dan demi keselamatan kanak-kanak,” kata seorang Jurucakap Majlis Perbandaran Devon, dipetik daripada portal tempatan – MYNEWSHUB.CC / Ainaa Hafizah

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments