Friday, 18 August 2017

Cucu Lee Kuan Yew Bimbang Ditangkap


CAMBRIDGE – Cucu lelaki pengasas Singapura, Lee Kuan Yew, meninggalkan republik itu bulan lalu berikutan bimbang ditahan oleh pihak berkuasa kerana menghina mahkamah negara tersebut.

Li Shengwu, yang juga anak saudara kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, meninggalkan Singapura pada 23 Julai lalu untuk kembali ke Amerika Syarikat, seminggu lebih awal berbanding rancangan asalnya.

“Di Singapura, tidak mustahil seseorang boleh ditahan dan disiasat untuk satu jangka waktu tanpa diwakili peguam.

“Rakan memberi amaran mereka bimbangkan keselamatan saya jika saya terus berada di Singapura,” katanya.

Li bagaimanapun enggan mendedahkan identiti rakannya atau memberitahu jika mereka ada maklumat tertentu.

Dewan Peguam Negara Singapura menghantar surat kepada Li, menuntutnya meminta maaf dan memadamkan siaran menerusi akaun Facebook yang menyatakan ‘Kerajaan Singapura suka memfailkan saman dan memiliki sistem mahkamah yang dikawal.’

Setiausaha Akhbar Hsien Loong, Chang Li Lin, berkata adalah ‘tidak tepat’ untuk bercakap mengenai penahanan dan siasatan.

“Ia adalah proses perundangan yang mantap. Undang-undang jelas dan prosedur dilaksanakan terhadap semua kes menghina mahkamah, termasuk kes membabitkan Li.

“Mahkamah akan memutuskan merit mengenai kes itu,” kata Chang. – REUTERS/myMetro Online

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments