Saturday 12 August 2017

Chacha Maembong Akui Serius Dengan Pemuda Cina


PELAKON yang semakin meningkat naik namanya, Chacha Maembong mengakui menjalinkan hubungan cinta dengan sorang pemuda berbangsa Cina yang dikenali sebagai Leslie.

Hubungan kedua-dua pasangan itu semakin serius dari hari ke hari. Kenyataan itu malah diakui oleh Chacha sendiri.

Chacha atau nama sebenarnya Siti Aisyah Ismail berkata, keluarga kedua-dua belah pihak turut sudah kenal antara satu sama lain.

“Hubungan saya dan kekasih boleh dikatakan semakin serius. Saya dah berjumpa dengan keluarga dia dan begitu juga sebaliknya.

“Alhamdulillah, keluarga kami memberi restu hubungan cinta ini. Tidak ada halangan biarpun saya dan dia berlainan agama,” kata Chacha dipetik mStar Online.

Tambahnya lagi, dia dan Leslie ada merancang untuk membawa hubungan cinta tersebut ke peringkat yang seterusnya.

Dalam masa itu, adik kepada Emma Maembong ini turut berkongsi tentang perbincangan mengenai keinginan cinta hatinya itu untuk memeluk agama Islam.

“Insya-Allah kalau ada jodoh kami memang ada perancangan untuk berkahwin. Saya dan Leslie pernah berbincang yang dia nak peluk agama Islam.

“Namun, bukan dalam waktu terdekat ini. Saya pun masih lagi muda dan perjalanan karier masih panjang,” tambahnya lagi.

Gadis ini berkata demikian kerana dia ingin memberi peluang kepada kakaknya terlebih dahulu mendirikan rumah tangga berikutan tidak mahu dianggap melangkah bendul.

Chacha dan Leslie mula berkenalan tahun lepas melalui kenalan mereka. Kini, telah menjalinkan hubungan cinta hampir setahun.

Dalam pada itu, Chacha juga tidak ketinggalan berkongsi pengalaman bekerja dengan barisan pelakon Bollywood, Gulshan Grover dan Farida Jalal menerusi filem I’m Not A terrorist.

“Apabila saya dapat tawaran berlakon bersama bintang terkenal Bollywood memang sangat teruja dan dalam waktu yang sama ada juga perasaan takut.

“Mana tidaknya, saya hanya pelakon biasa yang baru nak membina nama dalam industri. Manakala mereka antara nama yang besar dalam dunia Bollywood,”katanya.

Pelakon kelahiran pantai timur ini mengakui bekerjasama dengan mereka adalah sangat seronok berikutan para pelakon tak lokek untuk berkongsi ilmu.

“Tapi bekerjasama dengan mereka sangat seronok. Gulshan banyak membantu saya dalam menjiwai watak dan Farida pula sentiasa memberi tunjuk ajar,” ujar Chacha.

I’m Not A Terrorist merupakan filem arahan Arjin Uppal yang dibintangi oleh Rahul Dev dan bakal menemui penonton pada 5 Oktober depan. – MYNEWSHUB.CC/Amy Maizura

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments