Saturday 12 August 2017

Ahli Bina Badan Mati Lepas Gagal Buat ‘Back Flip’


SEORANG juara bina badan maut berikutan cedera parah selepas cubaan untuk melakukan aksi back flip ketika sesi pemanasan badan gagal dibuat dengan sempurna.

Menurut sumber, mangsa iaitu Sifiso Lungelo Thabete mengalami kecederaan di bahagian leher di mana tulangnya patah dalam satu insiden dilihat kepalanya mendarat terlebih dahulu ke lantai.

Berikutan terkejut dengan insiden berkenaan, beberapa kakitangan pihak penganjur segera mendapatkan mangsa yang ketika itu dilihat langsung tidak bergerak dan kaku.

Menerusi video yang dimuat naik memaparkan Thabete pada awal video mula memasuki kawasan gimnasium dengan lagak gayanya yang meminta para hadirin untuk memberi sorakan semangat.

Kemudian, dia mula berjalan ke tengah dan melompat untuk cuba melakukan ‘back-flip‘.

Bagaimanapun, kegagalan badannya mencapai tahap momentum penuh untuk berpusing telah menyebabkan kepala Thabete jatuh terhentak ke lantai terlebih dahulu sebelum dia dilihat terkulai layu dan tidak bergerak.

Berikutan mangsa dilihat dalam keadaan yang tidak bergerak itu, beberapa individu segera berlari untuk mendapatkannya.


Body Building South Africa mengatakan bahawa juara bina badan itu memang mempunyai gaya dan persembahan yang tersendiri tiap kali tampil ke pentas.

Akan tetapi, kali ini gayanya itu telah meragut nyawanya sendiri.

Presiden organisasi, Waybe Price mengesyaki kejadian tragis ini berlaku berikutan mangsa memakai stokin sewaktu itu lalu mengakibatkan dirinya tergelincir.

Keadaan itu juga secara tidak langsung telah mengakibatkkan mangsa gagal mencapai tahap momentum yang penuh.

“Dia memakai stokin pada waktu itu yang menyebabkan dia tergelincir dan gagal capai momentum yang cukup menyebabkan kepalanya mendarat di lantai sebelum badan,” ujarnya dipetik sebuah portal online.

Sebuah majalah bina badan Afrika Selatan, Muscle Evolution menggambarkan perasaan terkejut selepas dimaklumkan berikutan tragedi ini.

“Komuniti bina badan terkejut dan sedih dengan berita kematian Sifiso Lungelo Thabete, ahli bina badan dari Umlazi di KwaZulu- Natal, yang tragis itu,” ulasnya.

Majalah itu melaporkan bahawa, Thabete mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang itu dan terdahulu mangsa pernah memegang gelaran IFBB Junior World Champion dalam kategori sehingga 75 kilogram.

“Beliau telah mengagumkan orang ramai dan hakim dengan saiz otot yang luar biasa dan kematangan badan dalam usia beliau dalam pertandingan yang disertainya baru-baru ini,” lapor majalah tersebut. – MYNEWSHUB.CC/Agensi/Amy Maizura

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments