Beijing: Seorang wanita di barat daya China menyebabkan lalu lintas terganggu selepas dia mencampakkan wang tunai lebih 16,000 yuan (RM10,300) dan kemudian memberitahu polis dia bertindak demikian kerana ‘anginnya’ tidak baik ketika itu.
Akhbar tempatan melaporkan, wang kertas 100 yuan (RM16) itu di campakkan di jalan raya di Chongqing tetapi orang ramai hanya mengelilingi kawasan berkenaan dan memerhatikannya sahaja, tanpa ada yang berebut untuk memungutnya.
Menurut Chongqing Morning Post, polis tiba di tempat kejadian dan mengutip wang itu yang berjumlah 16,369 yuan (RM10,702).
Mereka kemudian menemui wanita terbabit dan menyerahkan semula wang itu kepadanya.
Wanita itu memberitahu polis, anginnya tidak baik petang itu menyebabkan dia ‘membuang’ wang berkenaan.
Dalam kenyataan kepada wartawan, polis berkata: “Seorang wanita berambut panjang, berjaket kulit, keluar dari sebuah farmasi, menuju tempat melintas. Dia kemudian berhenti dan mengeluarkan wang kertas dari begnya lalu mencampakkannya di jalan raya.”
Video mengenai tindakan wanita itu yang dimuat naik ke media sosial mencetuskan pelbagai reaksi.
Seorang pengguna menulis: “Jika saya tahu angin wanita itu tidak baik, saya pasti akan menghampirinya.” – Agensi/HMeto
No comments:
Write comments