Saturday, 18 March 2017

Sudah sebulan, bila nak dakwa pemandu rempuh 8 anak kami?


Waris lapan remaja berbasikal, yang terbunuh dirempuh kereta pada 18 Februari lalu, mahu pemandu itu didakwa segera.

Walau sudah sebulan anaknya Fauzan maut, Halmijah Selamat, 47, berkata sehingga sekarang pemandu kereta Nissan Almera tersebut belum didakwa.

“Keadaan berbeza di Singapura apabila pemandu van yang merempuh dua penunggang motosikal hingga mati di lebuh raya Bukit Timah pada Sabtu lalu didakwa di mahkamah dua hari selepas kejadian.

“Kejadian berlaku hari Sabtu, hari Isnin pemandu itu didakwa di mahkamah dengan dua pertuduhan kerana memandu secara terburu-buru sehingga menyebabkan dua kematian,” katanya seperti dilapor Kosmo!.

Dalam nahas 11 Mac lalu, dua penunggang motosikal warga Malaysia, masing-masing berusia 34 dan 50 tahun, maut di tempat kejadian.

Waris dua lagi mangsa, Amir Omar dan Jamilah Sulaiman, pula berharap polis tidak mengambil masa lama untuk menyelesaikannya.

“Kami faham kerja polis dan kami tidak mahu mengganggu siasatan. Namun mereka berjanji mahu memaklumkan perkembangan terkini kes itu kepada kami sebelum ini,” katanya Amir, bapa kepada Mohamad Azhar, 16.

Sementara Jamilah juga berharap siasatan kes kemalangan yang melibatkan kematian anaknya Haizad Kasrin, 16, dipercepatkan.

Namun, timbalan ketua polis negara berkata polis tidak boleh terburu-buru mengambil tindakan dan perlu mengumpul bukti kukuh.

“Kami tidak boleh terburu-buru kerana ini kes besar, melibatkan lapan nyawa dan kita nak pastikan semuanya berjalan lancar” kata Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Dalam kejadian awal pagi 18 Februari lalu, dua lagi cedera parah dan enam cedera ringan apabila sekumpulan remaja berbasikal dirempuh seorang pemandu wanita. - malaymailonline

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments