PUTRAJAYA – Polis memperoleh notis merah daripada Interpol bagi menahan empat rakyat Korea Utara dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan abang pemimpin negara itu, Kim Jong-nam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata individu berkenaan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Sepang, Selangor pada hari insiden pembunuhan itu pada 13 Februari lalu.
Keempat-empat suspek itu kini dipercayai berada di ibu kota Korea Utara, Pyongyang. Notis yang berwarna merah merupakan pekeliling waran tangkap antarabangsa dikeluarkan untuk tindakan semua 190 negara anggota Interpol.
“Kita berharap dapat menangkap mereka melalui Interpol. Siasatan masih diteruskan dan ia belum selesai, ” kata Khalid ketika ditemui selepas Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa Mengenai Rohingya 2017 di sini, hari ini.
Majlis disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri. Interpol atau Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa ditubuh pada 1923 dan berpusat di Lyon, Perancis.
Empat individu berkenaan ialah Rhi Ji-hyon, 33; Hong Song-hac, 34; O Jong-gil, 55; dan Ri Jae-nam, 57. Setakat ini hanya warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28; dan rakyat Indonesia, Siti Aisyah, 25; sudah ditahan serta dibicarakan.
Manakala seorang lagi warga Korea Utara, Ri Jong-chol, 46, yang turut ditangkap sebelum itu bagaimanapun telah dibebaskan kerana kekurangan bukti untuk pendakwaan di mahkamah sebelum diusir kembali ke negara asalnya.
Mengenai mayat Jong-nam, Khalid berkata, pihaknya menyerahkan kepada Kementerian Kesihatan dan Wisma Putra untuk mengendalikannya selepas identitinya berjaya disahkan secara rasmi. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
No comments:
Write comments