PETALING JAYA: Satu lagi tuduhan individu dalam tahanan pihak berkuasa didera kini timbul, tidak sampai seminggu selepas kes kematian dalam tahanan, S Balamurugan.
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy berkata seorang banduan di penjara Sungai Jawi di negeri itu dimasukkan ke unit jagaan rapi hospital kerajaan di Seberang Jaya pada 8 Februari akibat kecederaan teruk di kepala dan kaki.
Beberapa ibu jari mangsa, Chandran Muniandy, 42, juga didapati dicabut, kata Ramasamy ketika dihubungi hari ini.
“Melainkan dia tidak rasa sakit langsung, tidak mungkin dia boleh cabut sendiri kuku kakinya,” kata Ramasamy.
Ramasamy yang melawat mangsa malam tadi berkata, ibu Chandran menunggu di sisi anaknya dalam keadaan “sangat kecewa”.
“Wanita itu beritahu anaknya sihat sebelum masuk ke penjara dan sebab itu beliau sangat terkejut melihatnya sekarang tak sedarkan diri dan tak berdaya,” katanya.
Ramasamy berkata Chandran dijatuhi hukuman penjara 6 bulan pada Januari kerana “bergaduh”.
Mangsa seorang pekerja rencam dari Kampung Sungei Jawi, Pulau Pinang dan mempunyai ister serta anak.
Ibu mangsa, Pachaee Pakiry membuat laporan polis semalam, mendesak kes itu disiasat secepat mungkin.
Dalam laporan polis yang dilihat FMT, Pachaee mendakwa doktor yang bertanggungjawab merawat anaknya memberitahu selain kecederaan jelas di kepala dan kaki, tengkorak Chandran juga didapati retak.
“Anak saya masuk penjara pada 20 Januari. Dia sihat pada masa itu, tetapi pada 8 Februari kira-kira jam 10 malam, saya dimaklumkan oleh pegawai penjara yang dia dimasukkan ke ICU,” tulis ibu mangsa.
Ramasamy berkata beliau menawarkan bantuan kepada Pachaee dalam usahanya untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku di penjara.
Katanya, jika bantuan guaman diperlukan, pihaknya akan membantu Pachaee mendapatkan peguam juga.
“Sedih melihat sesuatu seperti ini berlaku, terutama pada minggu sama negara dikejutkan dengan berita Balamurugan yang mati dalam tahanan.
“Mereka ini datang daripada keluarga bermasalah, atau mereka hanya miskin, dan ini menjadikan mereka sasaran mudah,” katanya.
Ramasamy berkata beliau tidak tahu siapa yang menyerang Chandran, tetapi pihak berkuasa sepatutnya lebih bertanggungjawab terhadap mereka yang diletakkan di bawah jagaan mereka.
Adun Prai daripada DAP itu memberitahu FMT yang beliau sudah menghubungi Ketua Pesuruhjaya Polis Pulau Pinang Chuah Ghee Lye yang berkata akan menyiasat perkara itu secepat mungkin.
Ramasamy turut memaklumkan Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan Yacob Md Sam, yang berjanji untuk menjalankan siasatan berasingan.
Kes Chandran berlaku ketika negara sedang terkejut dengan kematian Balamurugan, yang meninggal dunia pada 8 Februari, ketika dalam tahanan polis.
Menurut laporan berita, beliau ditemui dengan mukanya bengkak teruk dan berdarah. - FMT
No comments:
Write comments