Tuesday, 4 April 2017

Enggan Main Seks, Suami Amuk Ugut Bunuh Di Jempol


MARAH kerana kehendaknya ingin melakukan hubungan seksnya ditolak, seorang suami di Jempol, Negeri Sembilan bertindak tidak rasional apabila mengamuk sehingga tergamak ugut ingin bunuh isteri serta anak-anaknya.

Dalam kejadian Jumaat lalu itu, suspek yang merupakan peneroka turut memecahkan pinggan mangkuk dan pasu kerana berang.

Takut dengan amukan suaminya, isteri kepada peneroka tersebut lantas membuat laporan polis di Balai Polis Ladang Geddes, di sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor, suami wanita itu meminta ingin melakukan hubungan seks kira-kira 10.15 malam, namun isterinya menolak dengan alasan mereka bakal bercerai.

“Disebabkan itu suspek mengamuk dan merosakkan beberapa barangan dalam rumah. Dia turut memecahkan akuarium sambil mengugut membunuh isteri dan anaknya.

“Bertindak atas laporan, sepasukan polis menahan suspek pada hari sama di rumahnya jam 1.30 tengah hari.

“Siasatan polis mendapati isteri suspek menolak melakukan hubungan seks berikutan sudah membuat permohonan cerai dan perlu tampil ke mahkamah pada esok (hari ini),” katanya kepada Harian Metro.

Susulan itu, suspek yang berusia 57 tahun direman selama empat hari hingga hari ini mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, anak-anak pasangan ini turut menyaksikan kejadian itu. - MYNEWSHUB

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments