Sunday 30 April 2017

Benjy Akui Pernah Jual Dadah Biayai Kos Rawatan Ibunya


SETELAH lebih seminggu menjadi tahanan polis Indonesia, ini khabar terbaharu dilaporkan media negara jiran itu mengenai pelakon Benjy yang juga anak seniwati Allahyarhamah Azean Irdawaty.

Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim, 38, membuat satu pengakuan mengejutkan kepada pihak polis di sana bahawa dia pernah jual dadah kerana ingin cari wang bagi membiayai kos perubatan kanser ibunya.

“Pernah, enggak racik sendiri untuk pakai, tetapi untuk biayai (pengobatan) kanker (barah) ibu saya. Anak jantan mana boleh lihat ibunya sakit,” katanya seperti yang dipetik portal Merdeka.com.

Seperti yang umum ketahui, ibu Benjy, Azean yang merupakan pelakon dramatis terkenal telah pun kembali ke rahmatullah pada 17 Disember 2013 akibat menghidap kanser.


Sementara itu, pihak berkuasa di sana menjelaskan hasil siasatan mendapati dadah jenis syabu yang disorok Benjy dalam duburnya hanyalah 4.5 gram dan bukan 14 gram seperti dilaporkan sebelum ini.

Bagaimanapun, buat masa ini tiada lagi bukti menunjukkan Benjy mempunyai kaitan dengan mana-mana rangkaian pengedar dadah di Medan namun, siasatan tetap diteruskan.

Dalam pada itu, pihak berkuasa memberitahu, belum ada lagi mana-mana pihak keluarga pelakon Kerana Cintaku Saerah itu melawatnya.

Mengikut rekod, Benjy ditahan 20 April lalu selepas pihak polis Indonesia menjumpai dua bungkus syabu dalam duburnya.

Ketika itu, dia baharu sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, Medan, wilayah Sumatera Utara setelah berlepas dari Kuala Lumpur.

Benjy sebelum ini pernah ditahan di Malaysia sebanyak empat kali pada tahun 2015 berkenaan isu dadah.

Antara pencapaiannya dalam industri seni, Benjy pernah memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi drama Hanya Untukmu dalam Anugerah Skrin 2003. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments