Wednesday 26 April 2017

Harga Runcit Siling Semua Jenis Minyak Turun


KUALA LUMPUR – Harga runcit siling bahan bakar yang mula ditetapkan secara mingguan bermula 30 Mac lalu, dan untuk seminggu berikutnya menyaksikan kesemua jenis minyak turun.

Menurut laporan Berita N5 yang disiarkan stesen TV1 RTM jam 5 petang Rabu, harga siling produk RON 95 kini menjadi RM2.21 seliter turun 6 sen berbanding sebelumnya iaitu RM2.27 seliter.

Manakala siling harga untuk petrol jenis RON 97 dalam tempoh seminggu akan datang pula ditetapkan kepada RM2.49 seliter iaitu turun sebanyak 5 sen berbanding sebelumnya iaitu RM2.54 seliter.

Dalam pada itu, harga runcit baharu untuk minyak diesel dalam tempoh tujuh hari yang sama diumumkan menjadi RM2.14 seliter iaitu turun sebanyak 7 sen berbanding RM2.21 seliter ketika sebelumnya.

Stesen penyiaran awam tersebut melaporkan bahawa kesemua harga siling baharu untuk produk petroleum itu bermula dari pukul 12.01 tengah malam 27 April sehingga 11. 59 malam 3 Mei depan.

Mulai akhir Mac, Kabinet memutuskan penetapan harga runcit bahan api secara mingguan bagi membolehkan pengguna menikmati trend kadar lebih stabil berbanding harga bulanan yang dilaksanakan sebelum ini.

Kerajaan sebelum ini melaksanakan penetapan harga siling bulanan secara kaedah pengapungan terkawal dengan mengguna pakai formula Mekanisme Harga Automatik yang ditetapkan sejak 1983.

Penetapan harga runcit minyak secara bulanan itu sudah dilaksanakan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bermula pada Disember 2014 lalu.

Namun pengumuman rasmi secara mingguan dijangka dapat mengurangkan kegelisahan pengguna kerana perubahan harga tidak begitu ketara berikutan tempoh pengiraan pendek. – Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments