Saturday 22 April 2017

Pelajar Madrasah Koma Dipukul Warden, Kaki Hitam


JOHOR BAHRU – Seorang pelajar lelaki, dari madrasah swasta yang kisah dua kakinya hitam dipercayai dipukul warden dan menjadi tular di media sosial sejak semalam, disahkan koma hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata Mohamad Thaqif Amin Mohd. Gadaffie, 11, dipotong kedua-dua kakinya semalam kerana mahu mengelakkan jangkitan kuman naik ke atas.

“Terkini, murid itu koma dan tangan kanannya telah hitam kerana proses jangkitan kuman pada tisu dan sel darah,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Thaqif Amin, yang dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Rabu lepas, menjadi tular di media sosial dipercayai mengalami kesakitan di bahagian kaki sejak dua minggu lalu selepas dirotan oleh pembantu warden.

Ayub berkata pihak HSI sedang sedaya upaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada Mohamad Thaqif Amin.

Ayub berkata keadaan pelajar terbabit amat kritikal dan pihak hospital juga sedang menyiasat sama ada dia mempunyai penyakit lain kerana keadaan penyakitnya tidak hanya terhad kepada tempat yang dikatakan dipukul.

“Untuk makluman, pesakit ini (Mohamad Thaqif Amin) dimasukkan ke wad di HSI selepas lebih dari dua minggu kejadian yang mengatakan dia dipukul oleh warden.

“Ibunya menyatakan yang mereka telah membawa pesakit berubat secara tradisional terlebih dahulu sebelum ke hospital,” kata beliau.

Ayub berkata Mohamad Thaqif Amin mempunyai darah beku dan terkena jangkitan hingga melarat ke bahagian buah pinggang sehingga merosakkan fungsi buah pinggangnya.

Beliau berkata masalah pembekuan darah tersebut bukan sahaja di kaki iaitu bahagian yang dikatakan dipukul tetapi juga tangan.

“Dimaklumkan juga kaki pesakit telah dipotong dan dialisis sedang dilakukan manakala laporan polis juga telah dibuat berhubung kejadian terbabit,” katanya. – BERNAMA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments