Saturday 22 April 2017

Lelaki Ditahan Seludup Air Mani Untuk Wanita Gersang


BANGKOK – Seorang lelaki Thailand ditangkap pada Khamis lalu di pusat pemeriksaan sempadan Laos kerana disyaki cuba menyeludup air mani manusia, kata pihak berkuasa kastam tempatan.

Menurut media Thailand, suspek dikenali sebagai Nithinon Srithaniyanan, melakukan perjalanan dengan membawa sebuah tangki nitrogen yang mengandungi enam bebuli sperma penderma lelaki untuk wanita ‘gersang’ di Laos.

Ketua Pegawai Kastam Thailand, Nimit Saeng-ampai berkata, penyeludup berusia 25 tahun tersebut ditahan pihak berkuasa ketika cuba melintasi pusat pemeriksaan Nong Khai di antara utara Thailand dan negara jirannya itu.

“Semasa proses siasatan lebih lanjut, Nithinon memberitahu bahawa dia dibayar oleh pihak lain untuk membawa air mani tersebut ke sebuah klinik kesuburan wanita di ibu kota Laos, Vientiane,” kata beliau kepada pemberita.

Nithinon menceritakan pelanggannya membayar 5,000 baht (kira-kira RM640) bagi setiap perjalanan yang berjaya dilakukan. Jarak antara Nong Khai dengan Vientiane cuma 25 kilometer atau 47 minit pemanduan dengan kereta.

Tangki dan bebuli itu kemudian dihantarkan pihak kastam untuk pemeriksaan klinikal di sebuah hospital di bandar timur laut Thailand, Khon Kaen, kata seorang pegawai kesihatan awam Nong Khai yang enggan didedahkan.


Nimit dalam pada itu menjelaskan bahawa Nithinon hanya dikenakan denda sebanyak 543,000 baht (kira-kira RM69,600) kerana cubaan menyeludup barangan haram dari Thailand ke luar negara sebelum suspek dibebaskan.

Jika bebuli itu disahkan mengandungi air mani, Nithinon boleh dipenjara sehingga tiga tahun kerana melanggar undang-undang Thailand. Hasil ujian klinikal bagaimanapun dijangka hanya dapat didedahkan pada Isnin depan.

Bebuli air mani bukanlah perkara baharu dalam pasaran dan ia turut dieksport banyak negara di seluruh dunia bagi memenuhi permintaan tinggi wanita sama ada bujang atau berkahwin untuk hamil daripada benih lelaki terbaik.

Setiap bebuli disimpan dalam bekas sejuk beku dan kebiasaannya mengandungi 10 juta benih yang perlu segera dimasukkan ke ruang faraj wanita dalam tempoh 24 jam setelah penutup botolnya dibuka untuk menjaga kualiti.

Ada pelanggan sanggup bayar mahal jika latar belakang penderma sperma itu individu bijak, kacak, gagah, aktif sukan atau bebas penyakit. Dalam ajaran Islam, hukum perbuatan keji ini adalah haram dan dianggap berzina.

Lazimnya, penderma air mani wajib bukan perokok atau golongan LGBT. Di China, ramai lelaki khasnya penuntut universiti sanggup menderma air mani mereka untuk mendapat bayaran bagi menanggung kos pengajian tinggi.

Banyak klinik kesuburan di China turut menawarkan hadiah lumayan termasuk telefon pintar. Setakat ini Denmark merupakan pengeskport sperma terbesar di dunia yang produknya dijual kepada lebih 80 buah negara sejak 1987.

Dianggarkan kira-kira 1,000 penderma sperma berdaftar di Denmark yang dibayar dengan pelbagai kadar tertentu daripada serendah AS$15 (RM64) sehingga mencecah AS$76 (RM324) untuk setiap botol air mani mereka.

Sperma penderma wajib lulus ujian tertentu sebelum ia kemudian dijual dengan harga daripada semurah AS$45 (RM192) sehingga yang paling mahal pernah cecah nilai AS$1,137 (RM4,848).- Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments