Wednesday 26 April 2017

Gelandangan Tangkap Tikus Sebagai Sumber Pendapatan


KUALA LUMPUR – Seorang senator hari ini mencadangkan agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggalakkan golongan gelandangan menyertai aktiviti menangkap tikus.

Senator Datuk Shahanim Mohamad Yussoff mencadangkan DBKL mengadakan kempen sekali sebulan menangkap tikus dengan menawarkan RM3 seekor yang ditangkap kerana didapati saiz haiwan itu besar.

Beliau membuat cadangan itu ketika bangun mencelah semasa Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. M. Loga Bala menggulung usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Negara.

Shahanim berkata, “Kalau boleh, hebahkan kepada orang ramai mengenai kempen ini dan lokasi tangkapan tikus ini hanya terhad di kawasan tertentu dalam tempoh tertentu sahaja.

“Contohnya buat pada waktu 10 malam hingga 2 pagi dan kalau tangkap di Pasar Pudu, hendaklah serahkan di sana juga untuk dapatkan bayaran, tidaklah nanti ada orang bela (tikus) dan dibawa dari tempat lain untuk dijual di situ,” katanya.

Sebagai respons, Loga Bala berkata kementeriannya menyambut baik dan akan mempertimbangkan cadangan itu, sebagai salah satu inisiatif gelandangan meraih pendapatan tanpa terlalu bergantung kepada bantuan semata-mata.

Katanya, DBKL telah menganjurkan Kempen “1 Tikus 1 Ringgit” sejak 2008 dengan menyasarkan 50,000 tikus ditangkap dalam tempoh sehari namun tidak mendapat sambutan daripada orang ramai.

“Kami memang sentiasa berusaha untuk membantu golongan gelandangan mendapatkan pendapatan sendiri dengan menganjurkan pelbagai program tetapi malangnya sikap dan tahap pemikiran golongan gelandangan berbeza dengan masyarakat biasa,” katanya.

Loga Bala berkata, “Kita telah cuba meletakkan golongan ini untuk bekerja dengan pihak-pihak tertentu namun ada yang kerja dua atau tiga hari kemudian menghilang dan enggan bekerja lagi.

“Setakat ini, masih tiada kejayaan dalam projek (membantu gelandangan) ini kerana mereka biasanya (gelandangan) tidak pentingkan kemajuan diri, ‘mindset’ mereka berbeza, asalkan dapat makan dan tidur yang cukup sudah memadai,” katanya.

Sementara itu, Loga Bala berkata kempen menangkap tikus di sekitar Kuala Lumpur akan diteruskan dan harga tangkapan bagi seekor tikus akan dinaikkan berbanding RM1 seekor ketika ini. – BERNAMA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments