LAMAN sosial Taiwan sensasi dengan posting seorang warganya yang bercerita kisah lucu tentang neneknya yang menyalahgunakan beg jenama mewah Louis Vuitton (LV) untuk isi barangan dapur.
Memetik laman BBC, lelaki berkenaan mengisahkan bahawa neneknya menggunakan beg tersebut untuk mengisi ikan dan sayur yang dibelinya di pasar.
Beg Neverfull dari LV itu berharga lebih RM4,423 dibelikan untuk neneknya sebagai hadiah kerana kasihan dengan warga emas itu kerana sudah bertahun memakai beg lusuh.
“Beg ini juga sangat bagus. Ia kalis air walaupun sedikit berat,” kata neneknya kepada cucunya itu.
Lelaki itu terdiam seribu bahasa apabila mendapati neneknya menyalahgunakan beg jenama mewah itu. Walau bagaimanapun, dia berpuas hati apabila neneknya itu gembira dengan pemberiannya.
Status yang dikongsi itu menerima 31 ribu tanda suka oleh pengguna laman sosial.
“Nenek awak mungkin seorang yang paling bergaya di pasar itu, berjalan-jalan seolah-olah di pentas peragaan, walaupun harga ikan sudah melambung tinggi,” komen seorang netizen.
“Patutlah beg LV ini mempunyai reputasi yang tinggi, sangat tahan dan boleh dipercayai,” kata cucu warga emas itu. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments