Saturday 22 April 2017

Brunei Potong B$2 Gaji Bulanan Untuk Bina Masjid


BANDAR SERI BEGAWAN – Kejatuhan besar harga minyak mentah global sejak tahun lalu bukan sahaja memberi kesan kepada pemotongan separuh daripada bajet tahunan kerajaan Brunei.

Malahan ekoran kekurangan peruntukan, bermula Jun ini semua ribuan penjawat awam beragama Islam di negara kaya itu diminta untuk ditolak sedikit sahaja daripada gaji bulanan mereka untuk dana pembinaan masjid baharu.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz Haji Mohd Yusof, dalam sidang media di Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah di sini semalam.

Langkah terbaharu berkenaan mengambil model sama dilaksanakan di Singapura sejak 1975 apabila semua pekerja Muslim di republik itu dipotong gaji mereka yang kemudian dimasukkan dalam dana khas diurus Yayasan Mendaki.

Namun berbeza dengan Brunei, amaun dipotong adalah berdasarkan tangga gaji iaitu mereka yang berpendapatan bulanan bawah S$1,000 akan dipotong S$3 dan kadarnya meningkat sehingga S$26 jika bergaji lebih S$10,000.

Manakala di Brunei, buat permulaan ia ditetapkan cuma B$2 (kira-kira RM6.30) tanpa mengira jumlah pendapatan dan amaun tersebut boleh ditambah lagi atas permintaan daripada kakitangan kerajaan itu sendiri yang berminat.

Abdul Aziz bagaimanapun menambah, peraturan itu bukan perintah mandatori, tidak sebagaimana di Singapura yang diwartakan sebagai wajib di bawah undang-undang rasmi pemerintah tersebut dan boleh dihukum jika ingkar.

Sebaliknya penjawat awam Islam di Brunei berhak memilih untuk tidak menyertai langsung skim berkenaan dengan mengisi borang khas yang disediakan oleh pihak bahagian kewangan setiap kementerian atau jabatan kerajaan.


Beliau seterusnya menjelaskan bahawa Sultan Hassanal Bolkiah berkenan menyokong Majlis Ugama Islam Brunei melaksanakan langkah pemotongan bulanan automatik itu menerusi Pekeliling 10/17 yang bertarikh 28 Mac lalu.

“Kakitangan bukan Islam juga digalakkan untuk menyumbang kepada Tabung Pembinaan Masjid,” kata Abdul Aziz. Namun penjawat yang tidak memberi maklum balas sebelum 31 Mei ini pula akan dianggap bersetuju gaji ditolak.

Dana khas yang dilancarkan pada 4 Jun 2015 itu, sehingga akhir bulan lalu berjaya mengumpul hampir B$5 juta (kira-kira RM16 juta) sumbangan daripada orang ramai termasuk syarikat korporat di seluruh negara tersebut.

Daripada jumlah berkenaan, lebih B$780,000 (kira-kira RM2.5 juta) dikumpul daripada seramai 5,031 kakitangan kerajaan melalui potongan bulanan gaji mereka secara sukarela kepada urusetia Tabung Amanah Islam Brunei.

Projek pertama yang mendapat manfaat daripada tabung khas tersebut ialah pembinaan sebuah masjid baharu di kawasan Kampong Tanjung Bunut dekat ibu negara yang menelan perbelanjaan B$3.5 juta (kira-kira RM11 juta).

Sehingga kini, Brunei memiliki sebanyak 111 buah bangunan ibadat umat Islam iaitu masing-masing dua buah masjid bertaraf negara, 12 masjid utama, 25 masjid mukim, 53 masjid kampung, lapan surau dan 11 balai ibadat.

Masjid tertua, Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin menjadi mercu tanda sejak 1958, manakala kali terakhir masjid dirasmikan ialah Masjid Ash-Shaliheen dekat Jabatan Perdana Menteri pada 2012. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments