Wednesday 26 April 2017

Raja Bomoh Mengaku Bersalah Hina Islam


KUALA LUMPUR – ‘Raja Bomoh’ atau nama sebenarnya Ibrahim Mat Zin hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan atas pertuduhan menghina Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina.

Kes itu disebut di hadapan Ketua Hakim Syar’ie Datuk Mohamed Ibrahim yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syar’ie.

Ibrahim, 66, mengaku bersalah bagi pertuduhan mengikut Seksyen 7(a) Akta Kesalahan Jenayah Syarikah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.

Selain itu, dia mengaku bahawa semua perbuatan ritual perbomohannya merupakan kesalahan dan menyalahi akidah Islam.

Mahkamah kemudian mengarahkan beliau berkelakuan baik selama enam bulan, berikutan faktor umur dan keadaan kesihatannya, bermula hari ini dengan bon dua penjamin di bawah pengawasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengikut Seksyen 129, Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997.

Mahkamah turut memerintahkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan supaya menyediakan modul pengajaran bagi membolehkan Ibrahim menjalani kelas akidah dan fardu ain dengan bimbingan Pejabat Mufti.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga dikehendaki menyediakan laporan perkembangan tertuduh kepada mahkamah sepanjang tempoh tersebut.

Sementara itu, Ibrahim melafazkan taubat di hadapan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada sidang media di Kompleks Pusat Islam di sini, petang tadi.

Ibrahim juga memohon maaf kepada semua umat Islam di atas perbuatannya selama ini yang didakwanya dilakukan mengikut arahan pihak tertentu yang enggan dinamakannya.

Dia juga mengaku akan berhenti menggunakan gelaran “Raja Bomoh”.

Sebelum ini, Ibrahim beberapa kali mengejutkan orang ramai dengan ritual perbomohan yang dilakukan bersama-sama para pengikutnya seperti membawa buluh kecil sebagai teropong, dua biji kelapa dan lima meriam buluh di beberapa lokasi bagi beberapa tujuan termasuk ‘melindungi’ Malaysia daripada serangan nuklear Korea Utara.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persetkutuan (JAWI) Abdul Aziz Jusoh pada sidang media sama memberitahu bahawa Ibrahim ditahan Bahagian Penguatkuasaan JAWI di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 1.48 petang Sabtu lepas.

Dia ditahan berikutan maklumat awam mengenai amalan ritualnya untuk menurunkan hujan bagi meredakan panas akibat El-Nino di tapak bekas rumah pangsa Jalan Pekeliling di sini pada 21 Mac 2016. – BERNAMA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments