Sunday 30 April 2017

Murid Darjah 3 Menang ‘Lucky Draw’ Peugeot 408


KANGAR – Seorang murid darjah tiga terkelu kerana tidak menyangka dirinya bertuah memenangi sebuah kereta Peugeot 408 tajaan syarikat Naza Automotif Manufacturing Sdn. Bhd., pada Perlis Marathon 2017 di sini, hari ini.

Muhammad Farhan Hakimi Mohamad Nor, 9, murid Sekolah Kebangsaan Kampung Serdang, Simpang Empat, Perlis, memenangi hadiah cabutan bertuah utama menerusi nombor penyertaan dalam larian bagi acara lima kilometer junior lelaki.

Katanya, dia tidak mampu berfikir kerana terlalu terkejut sebaik diumumkan sebagai pemenenag bertuah tersebut yang disampaikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Stadium Syed Putra Jamalullail, di sini.

“Saya tak pernah menang hadiah cabutan bertuah. Menyertai larian marathon di peringkat besar seperti ini juga pertama kali bagi saya,” katanya yang juga aktif bersukan dan sering mewakili sekolah dalam acara olahraga.

Muhammad Farhan Hakimi berkata bagaimanapun dia berasa amat gembira dengan hadiah bernilai lebih RM130,000 itu dan mungkin ingin menghadiahkan kereta itu kepada abangnya.

“Tak tahulah nak buat apa. Langsung tak boleh fikir apa nak buat dengan hadiah itu… rasanya saya akan beri pada abang untuk memandu kereta ini nanti.

“Saya kecil lagi tak boleh memandu, ayah dah tiada (meninggal dunia) mungkin saya akan ikut naik kereta ini bersama keluarga ke Kuala Lumpur untuk jalan-jalan sahaja,” kata anak bongsu daripada enam adik beradik itu kepada pemberita.

Anak kepada tukang jahit berasal dari Kodiang, Kedah itu berkata, beliau tidak berhasrat menjual kereta itu tetapi akan berkongsi gembira dengan seluruh keluarga.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berangkat pada program anjuran kerajaan negeri itu.

Penganjuran Perlis Marathon yang masuk tahun ketiga ini menyaksikan bilangan peserta yang makin bertambah dan di luar jangkaan kerana melebihi sasaran 10,000 penyertaan.

Edisi kali ini seramai 12,500 peserta dalam dan luar negara menyertai berbanding 8,000 pada 2016 dan 4,000 pada 2015 serta merupakan sebahagian acara kerajaan negeri sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis ke-74.

Kira-kira 100 peserta luar negara antaranya dari Kenya, India, Singapura, Thailand dan Amerika Syarikat menyertai acara perlumbaan itu yang mempertandingkan acara marathon penuh sejauh 42 kilometer (km), separuh marathon (21km), 10km dan 5km untuk merebut hadiah wang tunai berjumlah lebih RM250,000. – BERNAMA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments