Sunday 30 April 2017

Didenda Pakai Kain Sarung, Pelajar Lapor Polis…


KALAU dahulu, kena denda dirotan, ketuk ketampi atau jentik telinga oleh guru merupakan perkara biasa yang dialami pelajar sekolah. Pendek kata, tipulah kalau tak pernah kena kan?

Namun, nampaknya peredaran zaman turut merobah sikap pelajar-pelajar sekolah yang kini langsung tidak boleh dicuit waima melakukan kesalahan berat.

Sebagai contoh, seorang pelajar tingkatan dua dari Sekolah Menengah Bukit Sentosa, Hulu Selangor ini yang buat laporan polis, gara-gara tidak berpuas hati apabila didenda memakai kain sarung oleh guru disiplin.


Dalam kejadian Selasa lalu, pelajar berkenaan mendakwa telah dipanggil guru disiplin selepas habis perhimpunan sebelum mengarahkannya memotong seluar sekolah dipakainya dipercayai tidak ikut kod etika pakaian sekolah.

Jelasnya, guru disiplin berkenaan kemudian mendendanya dengan menyuruhnya memakai kain sarung serta menyatakan akan memulangkan semula seluar sekolah itu selepas hampir tamat waktu sekolah.

Namun, setelah habis waktu sekolah kira-kira 6.30 petang, dia bagaimanapun dimaklumkan oleh guru lain bahawa guru disiplin tersebut telah pun pulang ke rumah.

Sementara itu, guru berkenaan kemudian menyuruhnya agar balik ke rumah dengan memakai kain sarung tersebut memandangkan kunci bilik disiplin pula tiada.

Ekoran kejadian itu, pelajar lelaki berkenaan membuat laporan polis agar perkara ini dapat dirujuk kepada pihak sekolah dan pejabat pendidikan daerah.

Laporan polis pelajar berkenaan turut menjadi tular menerusi laman sosial dan menjadi bahan ketawa ramai netizen.

Rata-rata netizen menyelar pelajar berkenaan sebagai manja sehingga perkara remeh seperti ini dibawa kepada pihak polis. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments