Tuesday, 4 April 2017

KKM Sahkan Pasar Raya Aeon Ditutup Akibat Tikus


PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan bahagian barang runcit Pasar Raya Besar Aeon, One Utama, Petaling Jaya, Selangor ditutup kerana kehadiran tikus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bahagian barang runcit pasar raya tersebut ditutup di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 pada 31 Mac lepas untuk tempoh 14 hari.

“Premis tersebut bagaimanapun boleh beroperasi semula lebih awal sekiranya pemeriksaan semula kebersihan premis oleh KKM mencapai tahap memuaskan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Berita mengenai penutupan bahagian barang runcit pasar raya terbabit menjadi tular di media sosial beberapa hari lalu dengan satu rakaman video menunjukkan seekor tikus berada di atas rak yang menempatkan minuman.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata bahawa pihak KKM sentiasa menjalankan pemeriksaan terhadap premis perniagaan makanan secara rutin.

Beliau berkata dari tahun 2012 hingga 2016, penguat kuasa KKM telah menjalankan sebanyak 635,439 pemeriksaan ke atas premis makanan di seluruh negara.

“Hasil pemeriksaan sebanyak 15,731 premis makanan tidak bersih telah ditutup di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 termasuk kerana kehadiran tikus,” kata Noor Hisham.

Di samping itu ujar beliau lagi, sejak Julai 2013 hingga 2016 sebanyak 24,266 kompaun telah dikeluarkan terhadap pengusaha makanan yang gagal mematuhi keperluan kebersihan makanan.

KKM namun akan meneruskan pemeriksaan premis makanan bagi memastikan kebersihan dan keselamatan makanan malah memandang serius semua perkara berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan.

Pengguna boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq, jika terdapat sebarang aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan. - MYNEWSHUB

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments