MANILA – Seorang pemimpin kanan kumpulan Abu Sayyaf terbunuh dalam satu operasi bersama pasukan keselamatan di Tawi-Tawi pada Selasa, lapor tentera Filipina.
Jurucakap pasukan Komando Mindanao Barat (Wesmincom), Kapten Jo-Ann Petinglay berkata Buchoy Hassan atau lebih dikenali sebagai Black atau Bocoi merupakan salah seorang individu dikehendaki di Malaysia kerana terlibat dalam penculikan warga Taiwan, Chang An Wei di pusat peranginan Pulau Pom Pom, Sabah pada 2013.
Chang dilaporkan bercuti bersama suaminya, Lee Min Hsu di kepulauan tersebut pada 15 November 2013 ketika kumpulan Abu Sayyaf menyerbu masuk ke vila mereka.
Kumpulan militan tersebut yang bersenjata dan bertopeng menembak mati suaminya sebelum menculik dan melarikan Chang menggunakan bot ke Jolo.
“Penglibatan Hassan dalam kegiatan penculikan tidak boleh dipandang ringan dan sedang diteliti,” katanya.
Hassan terbunuh dalam satu operasi yang dilancarkan pasukan keselamatan bersama Tawi-Tawi dan polis di kediamannya di Barangay (kampung) Panglima Alari di Sitangkai.
Pasukan keselamatan menjumpai sepucuk senapang M16, lima bot laju dan beberapa motor sangkut di kediaman Hassan. – mStar Online
No comments:
Write comments