Tuesday 14 March 2017

Kebetulan Presiden Dipecat Ikut Angka 1, 2, 3 Hingga 12


SEOUL – Tular menerusi media sosial di Korea Selatan apabila ada netizen negara ‘kimchi’ itu mendedahkan pemecatan Presiden Park Geun-hye kebetulan ada kaitan dengan susunan angka.

Secara kebetulan pula, angka yang menjadi ‘mimpi ngeri’ terhadap pemimpin serta wanita pertama mengetuai negara maju tersebut adalah berdasarkan susunan menaik nombor bulat iaitu 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9, 10, 11 dan 12.

Pengguna media sosial Korea Selatan mendakwa nasib Geun-hye, 65, sebagai presiden ke-11 negara berkenaan yang tiba-tiba tumbang dalam arena politik tanah air sebenarnya banyak dicorakkan oleh keajaiban angka unik tersebut.

Beberapa netizen dalam reaksi mereka secara berjenaka mendakwa, mungkin ada satu ‘kuasa agung’ yang berjaya ubah nasib perjalanan beliau selepas dilantik sebagai presiden dan menduduki Istana Biru pada 25 Februari 2013.

Untuk rekod, Geun-hye sebelum itu menang pilihan raya presiden pada 19 Disember 2012. Bapanya, Park Chung-hee pernah menjadi presiden Korea Selatan yang ketiga dari 1963 hingga 1979 setelah merampas kuasa pada 1961.

Akhbar berpengaruh, The Korea Times melaporkan, Geun-Hye secara kebetulan pernah ketika Forum Perniagaan Korea Selatan-Brazil pada 2015 berkata: “Jika anda terpaksa berhajat sesuatu, satu ‘kuasa agung’ sedia bantu.”


Berikut disenaraikan kronologi pemecatan beliau yang menjadi tular kerana kebetulan menurut susunan angka:

1: Ada 1 orang ahli Parlimen mengundi untuk berkecuali dalam rang undang-undang pemecatan Geun-hye.

2, 3, 4: Namun 234 ahli Parlimen sokong usul tergempar itu diluluskan Dewan Perhimpunan Kebangsaan.

5, 6: Bagaimanapun 56 wakil rakyat dilaporkan menentang keras rang kontroversi tersebut di Parlimen.

7: Lucunya, terdapat 7 undi ahli Parlimen yang dikesan sebagai tidak sah pada pengundian 9 Disember 2016.

7, 8: Pecahan hasil pengundian menunjukkan ia diluluskan rasmi dengan majoriti besar sebanyak 78 peratus.

8: Susulan itu, Mahkamah Perlembagaan mengumumkan usul khas itu perlu dibicarakan pada 8 Mac 2017.

9: Parlimen Korea Selatan mewartakan rang undang-undang itu pada lewat malam 9 Disember 2016.

10, 11: Mahkamah yang bersidang akhirnya mengesahkan usul Parlimen pada 10 Mac tepat jam 11 pagi.

12: Presiden bertegas menolak keputusan mahkamah itu tetapi akhirnya terpaksa keluar meninggalkan Cheong Wa Dae (Istana Biru) pada 12 Mac lalu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments