Thursday 16 March 2017

Fon kepala letup dalam pesawat


Sydney: Seorang wanita melecur pada sebahagian mukanya selepas fon kepalanya meletup dalam pesawat ketika dia tidur. 

Penumpang berkenaan mendengar muzik menggunakan fon kepala kuasa baterinya apabila dia terlena kira-kira dua jam kemudian ketika dalam penerbangan dari Beijing ke Melbourne beberapa minggu lalu.

“Tiba-tiba kedengaran letupan kuat. Apabila saya berpaling saya terasa muka saya terbakar,” katanya kepada Biro Keselamatan Pengangkutan Australia yang menyiasat kejadian itu.

“Saya rentap fon kepala itu dan mencampakkannya ke lantai. Ia menyebabkan kebakaran kecil. Kakitangan pesawat bergegas membantu dan memadamkannya dengan mencurahkan air pada fon kepala itu,” katanya. 

Gambar menunjukkan wanita berkenaan yang namanya tidak didedahkan dengan muka dan lehernya hitam kesan terbakar. 

Penumpang lain terpaksa berdepan dengan bau plastik terbakar sepanjang baki penerbangan itu. 

“Sebahagian mereka terbatuk-batuk sepanjang penerbangan itu,” katanya. 

Biro keselamatan pengangkutan tidak menyebut pesawat yang terbabit tetapi berkata, bateri lithium-ion yang digunakan fon kepala itu mungkin terbakar. 

“Memandangkan semakin banyak produk menggunakan bateri, potensi ancaman dalam pesawat juga meningkat. 

“Peranti seperti itu perlu disimpan dengan baik jika tidak digunakan,” kata biro berkenaan dalam satu kenyataan. 

Jurucakapnya, Stuart Godley berkata, ini kali pertama mereka menerima laporan mengenai kebakaran fon kepala dalam pesawat. – AFP/HMetro

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments