PETALING JAYA: Selepas melalui pengalaman ngeri ketika menaiki tren LRT pagi Isnin lalu, Nur Dini Van Haeren menasihatkan mangsa pelaku sumbang supaya tidak berdiam diri, sebaliknya bertindak balas untuk menghentikan perbuatan pihak tidak bermoral itu.
"Jerit atau lakukan sesuatu supaya orang ramai tahu apa yang berlaku.
"Malukan lelaki itu jika terpaksa dengan mengambil gambar atau video. Pastikan pelaku sumbang itu tidak terlepas dengan apa yang telah dilakukannya," katanya.
Itulah yang dilakukan Nur Dini sebaik didekati lelaki bermata galak sebaik dia menaiki tren di stesen Kelana Jaya baru-baru ini.
Pelajar kolej berusia 21 tahun itu yang sedang menjalani latihan amali di sebuah hotel telah didekati seorang lelaki yang mengeluarkan kata-kata dan perbuatan tidak sopan terhadapnya.
"Apa masalah kamu?" demikian dia menjerik terhadap lelaki itu yang kemudiannya hanya tersenyum lebar.
"Saya kemudiannya mengambil gambarnya menggunakan telefon untuk memalukannya. Dia menutup mukanya sebelum turun di dua stesen selepas itu di Taman Paramout," katanya.
Nur Dini berkongsi pengalamannya itu menerui laman sosial Facebook.
"Sepatutnya saya lakukan lebih lagi untuk melindungi diri tetapi ketika itu saya agak gementar, tiada kata-kata yang boleh gambarkan perasaan saya ketika itu.
"Situasi itu menyebabkan saya menggeletar dan menangis. Saya harap orang lain tidak akan melalui situasi seperti itu," katanya.
Susulan posting Nur Dini itu, pihak Rapid Rail yang juga anak syarikat Prasarana telah menjalankan pemeriksaan dan mengesan suspek di stesen LRT Taman Jaya.
Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada Khamis dan diserahkan kepada polis, kata Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Zohari Sulaiman.
Ketika dihubungi, Nur Dini yang lega susulan penahanan lelaki itu berkata, dia bimbang jika ditakdirkan bertemu lagi pelaku sumbang itu di dalam tren atau di tempat awam.
Bagaimanapun, ia tidak akan menghalangnya daripada terus menggunakan pengangkutan awam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din mengensahkan penahanan lelaki itu.
Katanya, pihaknya akan memutuskan pada Sabtu sama ada suspek akan ditahan reman bagi membantu siasatan. - mstar
No comments:
Write comments