Saturday 23 September 2017

Pendakwah Hina Wanita Otak Kecil Digantung Tugas


RIYADH – Seorang pendakwah Arab Saudi dilarang menjalankan aktiviti agama selepas berkata wanita tidak patut dibenarkan memandu kerana otak mereka kecil berbanding lelaki.

Saad Al-Hijri digantung daripada semua aktiviti agama selepas tidak bersetuju wanita dibenarkan memandu dalam ucapan yang disifatkan mengandungi ulasan ‘merendahkan nilai manusia’, lapor stesen penyiar yang memetik jurucakap gabenor Wilayah Asir.

Arab Saudi adalah satu-satunya negara yang melarang wanita memandu di sebalik usaha kerajaan meningkatkan peranan mereka, terutama dalam bidang pekerjaan.

Dalam video yang memperkenalkan beliau sebagai ketua Jabatan Mufti di wilayah selatan Arab Saudi itu, Al-Hijri ditanya apa perlu dilakukan jabatan trafik jika menemui lelaki dengan ‘separuh otak’.

“Adakah ia (jabatan) akan memberi lesen (memandu) kepada beliau atau tidak? Pasti tidak. Bagaimana boleh berikan lesen kepada mereka yang cuma ada ‘separuh otak’?

“Jika wanita ke pasar, ia hilang separuh lagi. Apa yang tinggal? Cuma suku. Kami mendesak jabatan trafik memeriksa kerana wanita tidak sesuai memandu dan mereka cuma ada ‘suku otak’,” katanya.

Ulasan itu mencetuskan kemarahan di media sosial yang amat popular di negara itu.

Pengguna Twitter berkongsi video berkenaan, ramai mengecamnya dan membuat jenaka mengenai kenyataan itu dengan ‘hashtag’ dalam bahasa Arab #Al-Hijri_wanita_suku_otak.

Sebahagian pengguna menyiarkan gambar saintis dan pakar akademik wanita popular Arab Saudi sebagai reaksi dan mempersoalkan kelayakan intelektual Al-Hijri.

Penggantungan tugas beliau seperti diarahkan gabenor, bertujuan menghalang penyebaran pandangan yang mencetuskan kontroversi dan tidak mewakili kepentingan negara, kata jurucakap menurut akaun Twitter rasmi saluran Ekhbariya TV. – Reuters

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments