GEORGE TOWN – Seorang penunggang motosikal dirakam melarikan diri selepas melanggar seorang wanita dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat di Jalan Burmah, tengah hari.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.24 tengah hari itu, mangsa yang dipercayai berusia lingkungan 50-an cedera parah di bahagian kepala dan kini masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.
Menerusi rakaman video berdurasi 12 saat, warga emas berkenaan pada mulanya dilihat cuba melintas jalan setelah sebuah kereta berhenti bagi memberikan ruang untuk wanita itu melintas.
Malangnya penunggang motosikal jenis Honda RS150 itu, tidak pula berhenti dan terus merempuh mangsa. Akibat daripada rempuhan itu, mangsa tercampak sebelum terjatuh.
Penunggang motosikal terbabit kemudiannya terus berlalu pergi tanpa menghiraukan keadaan mangsa yang cedera.
Kejadian yang berjaya dirakamkan itu kemudian dimuat naik ke media sosial agar orang ramai dapat membantu mengesan penunggang motosikal terbabit.
Lapor akhbar tempatan, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash berkata pihaknya sedang mengenal pasti nombor pendaftaran motosikal suspek dan usaha menjejakinya sedang giat dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Write comments