LONDON – Seorang nenek berusia 87 tahun terpaksa menahan malu dan duduk dalam pesawat sepanjang penerbangan dengan pakaiannya itu basah kuyup akibat terkencing.
Ini gara-gara tindakan pelik pramugari pesawat British Airways yang tidak membenarkan wanita tua tersebut untuk pergi ke tandas, dakwa anak perempuan wanita itu kepada akhbar popular tempatan, Daily Mail.
Lebih menyedihkan, wanita tua itu, Kocharik Tsamouzian, menerima satu lagi tamparan hebat setelah syarikat penerbangan British tersebut menawarkannya dengan wang pampasan hanya sebanyak £40 (RM222).
Ganti rugi tidak seberapa itu sudah dikecam anak perempuannya, Aida Behroozi sebagai penghinaan. Insiden itu dalam penerbangan selama 13 jam dari Los Angeles, Amerika Syarikat ke London yang tertangguh selama 90 minit.
Aida, 62 tahun, memberitahu bahawa ibunya itu tiba di lapangan terbang Heathrow dengan pakaian basah kuyup dan kelihatan tertekan namun beliau hanya mendiamkan diri dalam perjalanan pulang ke rumah.
Ini kerana wanita itu terlalu malu untuk menceritakan apa yang terjadi di hadapan suami anaknya. Ibunya itu hanya memberitahu apa yang sebenarnya berlaku ketika mereka sudah tiba di rumah.
“Mereka tawar pampasan hanya £40. Ia satu penghinaan. Saya berang sekali. Saya menulis e-mel dan minta cakap dengan mana-mana kakitangan. Ia benar-benar hina, saya tidak mahu ambil £4,000 pun daripada kamu…
“Saya mahu kenyataan meminta maaf yang betul,” kata Aida. Malah, dia menjadi lebih berang setelah diberitahu bahawa wang pampasan £40 itu sebenarnya bukan untuk insiden ibunya yang dilarang menggunakan tandas.
Tetapi sebagai pampasan kerana alat hiburan dalam pesawat tidak berfungsi. Menceritakan lanjut, Aida berkata ibunya, yang tinggal di Los Angeles, pergi ke London pada 22 Disember untuk meraikan Krismas bersama dia.
Ibunya naik berang apabila dilarang ke tandas, hingga bangun dari tempat duduknya dan berkata “Saya akan ke tandas sama ada anda suka atau tidak.” Namun seorang pramugari bernama Mandy berdiri di hadapannya.
Dia berkata “Anda tidak akan ke tandas!” Aida seterusnya berkata ibunya kemudian mengalami kesakitan di bahagian ginjal kerana tahan kencing terlalu lama, sehingga akhirnya tidak dapat menahannya lagi.
“Beliau bukan tidak boleh menahan air kencing, beliau tidak mengalami sebarang masalah, tetapi beliau wanita tua dan apabila anda perlu pergi (buang air kecil), anda perlu pergi,” ujarnya lagi kepada Daily Mail.
Sementara itu, pihak British Airways mengakui insiden tersebut dan sudah meminta maaf dengan menyatakan bahawa: “pelanggan kami mengalami pengalaman yang begitu menganggu perasaan.”
Jurucakap itu menyatakan bahawa di bawah peraturan keselamatan Penguasa Penerbangan Awam, penumpang mesti kekal di tempat duduk masing-masing dengan tali keledar dipasang, selepas pesawat sudah mula bergerak.
“Keselamatan setiap penumpang sentiasa diutamakan kami,” menurut jurucakap British Airways dalam kenyataan makluman kepada Daily Mail. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
No comments:
Write comments