Sunday 29 October 2017

Wartawan Malaysia Ditahan Rakam Parlimen Guna Dron


YANGON – Dua wartawan asing masing-masing dari Malaysia dan Singapura ditahan di Naypyitaw kerana menggunakan dron untuk rakam imej Parlimen, menurut laporan agensi berita Myanmar.

Media tempatan mengenal pasti wartawan yang ditahan semalam itu adalah wanita warga Malaysia bernama Mok Choy Lin, berusia 47 tahun manakala lelaki rakyat Singapura pula ialah Lau Hon Meng, berumur 44 tahun.

Difahamkan kedua-dua mereka yang ditahan merupakan wartawan yang bertugas dengan Perbadanan Radio dan Televisyen Turki (TRT), sebuah stesen penyiaran antarabangsa berbahasa Inggeris 24 jam berpusat di Istanbul.

Siasatan ke atas insiden pelik tersebut masih lagi dijalankan, menurut seorang pegawai di balai polis No.1 terletak di pusat pentadbiran kerajaan baharu Myanmar tersebut, Shwe Thaung, yang dipetik media antarabangsa di sini.

Turut ditahan ialah jurubahasa dan pemandu mereka. Keempat-empat suspek dicekup polis ketika sibuk bertugas merakam kompleks Parlimen Myanmar pada pagi Jumaat sebelum dibawa ke sebuah balai polis yang berhampiran.


Pihak TRT World dilaporkan dalam perbincangan dengan pihak berkuasa Myanmar untuk memohon pembebasan dua wartawan itu yang turut diperakui memiliki visa sah. Tidak jelas sama ada mereka akan didakwa di mahkamah.

Stesen televisyen milik pemerintah Myanmar, MRTV melaporkan bahawa pemberita asing terbabit tidak memiliki kebenaran daripada pihak berkuasa untuk rakam sebarang imej bangunan Parlimen dengan menggunakan dron.

Visual stesen kerajaan itu turut memaparkan visa dua wartawan terbabit malah Kementerian Luar Myanmar dilapor sudah memaklumkan secara rasmi kepada pihak Kedutaan Malaysia dan Singapura di sini mengenai kes tersebut.

Ramai pemberita asing ditahan polis di Myanmar sepanjang tahun ini ekoran melaporkan suasana tegang di wilayah Rakhine yang menyaksikan keganasan junta tentera kerajaan terhadap masyarakat etnik Muslim Rohingya.

Terbaharu sepasukan 24 pegawai polis khas menyerbu rumah jurubahasa, Aung Naing Soe, yang turut bertugas dengan pelbagai media antarabangsa kerana dikatakan lantang kritik kerajaan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments