Sunday 29 October 2017

Kereta Unik Beg Udara Di Luar, Bukan Di Dalam!


TOKYO – Ketika dunia gempar dengan skandal beg udara rosak keluaran Takata Corp. melibatkan jutaan pelbagai model popular sehingga kerugian AS$1 bilion, lain pula kisah mengenai kereta ini.

Ramai pengunjung acara pameran pemotoran tahunan terkenal Tokyo Motor Show di sini dilaporkan media Jepun amat tertarik dengan keunikan sebuah kereta konsep terbaharu yang bakal dipasarkan pada tahun 2030 kelak.

Ia bukan sahaja kerana reka bentuknya yang agak bulat ‘sado’ macam seekor kumbang, malahan kereta tersebut juga mempunyai beg-beg udara di bahagian badan luarnya supaya tidak kemek jika dilanggar oleh kenderaan lain.

Kereta konsep bernama Flesby II ini dihasilkan syarikat tempatan Toyoda Gosei, yang sebenarnya merupakan pengeluar getah serta pelbagai komponen plastik kenderaan dan cahaya LED ditubuhkan sejak tahun 1949.



Firma asalnya divisyen penyelidikan bahan getah Kumpulan Toyota Motor Co. itu dikatakan berjaya mencipta panel badan kereta dilindungi dengan getah lembut generasi baharu yang boleh menyerap kesan pelanggaran dari luar.

“Getah itu juga boleh bergerak dengan bekalan kuasa elektrik sekali gus mampu mengubah bentuk kereta ini,” kata pengarah urusan Toyoda Gosei, Takashi Ishikawa. Idea kereta tersebut sebenarnya sudah timbul sejak 2013 lagi.

Selain itu cahaya LED di dalam beg-beg getahnya membolehkan pemandunya ‘bercakap’ dengan para pejalan kaki dan pemandu kenderaan lain. Ruang dalaman kereta ultra kompak ini diperbuat daripada material tekstur lembut.

Menurut kenyataan syarikat itu, apabila beg udara dipasang di luar, ini menjadikan pemanduan lebih selamat apabila mampu menyerap hentakan sama ada dirempuh atau merempuh objek keras. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments