Sunday 29 October 2017

Wanita Tertua Malaysia Meninggal Usia 128 Tahun


REMBAU – Safiah Ujang, yang dipercayai wanita tertua di Malaysia, meninggal dunia pada usia 128 tahun, di rumahnya di Kampung Seberang Batu Hampar, di sini pada Jumaat.

Allahyarhamha yang dilahirkan pada 11 Februari 1889 disahkan meninggal dunia akibat sakit tua sekitar 12 tengah hari dan menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarganya, menurut laporan media tempatan.

Salah seorang daripada cucunya, Mohammad Hafiz Abdul Ghani, yang berusia 29 tahun berkata, Allahyarhamha dikatakan ada menghidap barah usus dan tahap kesihatannya mulai merosot sejak tiga minggu lalu.

“Saya menjaga nenek saya selama sebulan dan keadaannya semakin teruk. Beliau amat lemah, tidak selera makan lagi dan enggan makan nasi. Nenek hanya meminta buah-buahan dan susu setiap hari,” dedahnya.

Mengenai status neneknya itu sebagai wanita tertua Malaysia, Mohamad Hafiz berkata beliau tidak pernah menerima sebarang sijil rasmi daripada pihak berkuasa termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Kami pun hanya diberitahu secara lisan oleh beberapa pegawai JPN Negeri Sembilan semasa mereka ada pernah berkunjung ke rumah beberapa bulan lalu,”ujar beliau lagi yang dipetik oleh media tempatan.

Allahyarhamha meninggalkan seorang anak tunggal, Abdul Ghani Daud, 74 tahun dengan enam cucu serta 30 cicit dan dikebumikan di Kampung Seberang Batu Hampar selepas solat Asar pada Jumaat.

Pada 28 April lalu, media melaporkan seorang wanita berusia 121 tahun, Puan Ahmad, dipercayai individu tertua di negara ini meninggal dunia akibat sakit tua di kediaman keluarganya di Kampung Bendahara, Kodiang, Kedah.

Allahyarhamha yang lebih dikenali sebagai Tok Puan dan dilahirkan pada 12 April 1896 itu mengalami masalah kesihatan serta hanya mampu baring di rumah kira-kira dua minggu sebelum kembali ke Rahmatullah.

Ketika ini Guinness World Book of Records mengiktiraf warga Jepun, Nabi Tajima sebagai wanita supercentenarian tertua di dunia yang masih lagi hidup dengan usia 117 tahun secara rasmi pada 15 September lalu.

Setakat ini rekod wanita paling tua di dunia terus kekal dipegang oleh warga Perancis, Jeanne Calment yang telah meninggal dunia pada 4 Ogos 1997 dalam usia 122 tahun. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments