Tuesday 24 October 2017

Singapura Henti Pertumbuhan Kenderaan


SINGAPURA – Ibu kota ini, antara negara paling mahal di dunia untuk memiliki kenderaan, tidak akan membenarkan sebarang pertambahan bilangan kereta bermula Februari tahun depan

Ia berikutan faktor kekurangan tanah dan peruntukan bilion dolar diperlukan untuk pelaburan pengangkutan awam terancang.

Pihak Berkuasa Pengangkutan Tanah (LTA) berkata, ia mengurangkan kadar kelulusan pertumbuhan bilangan kenderaan di ibu kota ini kepada sifar peratus berbanding 0.25 peratus setahun untuk kereta dan motosikal.

Kadar itu akan dikaji semula menjelang 2020.

Singapura mengawal ketat pertumbuhan kenderaan dengan menetapkan kadar pertumbuhan tahunan dan menerusi sistem bidaan hak memiliki dan menggunakan kenderaan untuk tempoh terhad.

Ia adalah satu daripada negara paling padat di dunia dan sudah memiliki sistem pengangkutan awam meluas.

LTA berkata, ketika ini, 12 peratus jumlah kawasan tanah di negara ini dikhususkan untuk membuat jalan raya.

“Berikutan kekangan tanah dan keperluan persaingan, ada skop terhad untuk peluasan lanjutan rangkaian jalan raya,” katanya.

Ibu kota yang mana jumlah penduduknya meningkat hampir 40 peratus sejak 2000 kepada kira-kira 5.6 juta orang ketika ini, memiliki lebih 600,000 kenderaan persendirian dan sewa di jalan sehingga tahun lalu.

Ia termasuk kereta digunakan pemandu menawarkan perkhidmatan seperti Grab dan Uber yang semakin popular.

Sebuah kenderaan harga sederhana boleh berharga empat kali ganda harga dibeli di Amerika Syarikat (AS).

Singapura meluaskan jajaran rangkaian kereta api kepada 30 peratus dan menambah laluan baharu serta kapasiti menerusi perkhidmatan bas.

LTA berkata, kerajaan akan terus melabur S$20 bilion (RM62.23 bilion) untuk infrastruktur baharu kereta api, S$4 bilion (RM12.45 bilion) untuk memperbaharui, menaik taraf dan meluaskan aset operasi kereta api serta tambahan S$4 bilion dalam kontrak subsidi bas bagi tempoh lima tahun akan datang. – Reuters/BH ONLINE

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments