Tuesday 24 October 2017

Gadis Mahir Baiki Kereta Dilamar Lebih 100 Lelaki


SEJAK videonya membaiki brek kereta tular beberapa hari lalu, nama Nor Sakira Awee berjaya menjadi tumpuan netizen lebih-lebih lagi kaum Adam.

Mana tidaknya, memang jarang-jarang sekali untuk melihat orang perempuan menceburkan diri dalam bidang automotif lebih-lebih lagi untuk duduk di bengkel dan ‘mengotorkan’ tangan dengan minyak hitam dan sebagainya.

Tetapi, tidak bagi Sakira. Gadis manis itu sanggup ‘bermain’ dengan enjin-enjin tersebut kerana minat serta kemahiran yang dimilikinya itu.

Setelah videonya sedang bekerja menjadi tular di laman sosial, dia telah menerima banyak mesej cinta daripada lebih 100 lelaki yang kononnya ingin berkenalan dengan lebih dekat!

“Ramai yang menghantar mesej melalui akaun media sosial saya termasuk Instagram, Facebook dan juga aplikasi telefon seperti WeChat.

“Walaupun menjadi tumpuan berbanding sebelum ini, saya tidak menganggapnya sebagai gangguan kerana saya juga memang suka berkawan dengan semua orang dan terbuka dalam soal ini.

“Saya tidak mengalami sebarang masalah kerana selama ini memang ada ramai kawan lelaki berbanding rakan perempuan,” katanya dipetik Harian Metro.


Bukan itu sahaja, malah gadis yang berasal dari Kuala Terengganu ini pernah ditawarkan pinangan seorang lelaki dengan RM20,000 sebagai wang hantaran.

Tetapi, bukan semuanya mahu mencuba nasib untuk memikat hati gadis muda ini, sebaliknya ramai juga yang memberikan kata-kata semangat dan memujinya kerana terlibat dalam industri yang biasanya dimonopoli oleh kaum lelaki.

“Saya hanya buat apa yang saya suka dan minat, tetapi tak sangka pula ia mendapat maklum balas positif daripada orang ramai.

“Selain yang menghantar mesej untuk berkenalan, ramai juga memberi dorongan dan kata-kata semangat. Respon netizen dan orang sekeliling secara tidak langsung membuatkan saya lebih bermotivasi untuk terus maju dalam bidang automotif ini,”katanya.

Mungkin disebabkan kebolehan yang membanggakan dalam bidang automotif, Sakira telah ditawarkan oleh beberapa bengkel kenderaan serta syarikat minyak pelincir untuk berkhidmat secara sambilan di pusat servis mereka.

“Memandangkan masih belajar, saya perlu mendapatkan persetujuan banyak pihak selain ingin memastikan ia tidak menggangu pembelajaran di UNICETE,” katanya.

Tambah Sakira lagi, dia turut banyak menimba ilmu daripada abangnya yang turut memiliki bengkel kereta sendiri di Kampung Tok Landok.

Sakira juga merupakan pelajar perempuan ketiga dalam kursus automotif di Universal Centre Education Training Employment (UNICETE) itu. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments