Thursday 19 October 2017

'Saya Hanya Mahu Tuntut Hak Saya' – Aeril Zafrel


AWAL bulan lalu, heboh mengenai kisah dua orang artis yang berjaya ditipu oleh seorang ahli perniagaan yang bergelar Datuk.

Mula-mula pasangan pelakon Aeril Zafrel dan Wawa Zainal mendakwa wang RM100,000 telah dilesapkan oleh si Datuk tersebut.

Kemudian, Rozita Che Wan atau lebih dikenali dengan nama Che Ta pula mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM50,000 daripada Datuk yang sama.


Namun, Aeril kemudian dipetik Harian Metro mendedahkan bahawa Datuk tersebut ada menghubunginya menerusi aplikasi WhatsApp beberapa hari lalu.

“Dia menghantar mesej bertulis, ‘segala kebenaran akan terjawab tidak lama lagi’. Saya tidak faham dan kurang jelas dengan apa yang dimaksudkannya.

“Saya kemudian balas mesej itu dan ajak dia untuk berjumpa, tetapi dia tidak memberikan sebarang maklum balas. Saya berharap dapat jumpa dengannya bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Terdahulu, pelakon Patahnya Sebelah Sayap ini ada memuat naik gambar Datuk tersebut dan juga laporan polis yang dibuat ke akaun Instagramnya.


Namun, niatnya hanya untuk menuntut hak dan bukannya untuk memalukan individu tersebut.

“Jumlah RM100,000 bukannya sikit. Jadi, saya memang tetap berjuang mendapatkan semula wang saya. Saya ajak berjumpa supaya masalah ini dapat diselesaikan segera.

“Saya faham ketika ini dia mungkin ada masalah dan kalau minta sekali gus pun bukannya dia boleh bagi. Dapat separuh dulu pun okay. Saya hanya inginkan wang dan hak saya semula. Saya harap dia pun faham situasi saya,” katanya.

Aeril dan Wawa mendakwa mereka telah menyerahkan RM100,000 secara tunai kepada Datuk tersebut sebagai usahasama untuk menghasilkan produk minyak wangi.

Tetapi malangnya, Datuk tersebut gagal dihubungi sepanjang 19 bulan yang lalu. – MYNEWSHUB.CC

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments