Friday 27 October 2017

Kasut Termahal Dunia Harga RM64 Juta Di Dubai


DUBAI – Sepasang kasut paling mahal di dunia bernilai 55 juta dirham (kira-kira RM64 juta) bakal dipamerkan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula Rabu pada minggu depan.

Sepatu mewah ini akan dipaparkan buat julung kali kepada orang ramai bertempat di Hotel Raffles Dubai di sini bersempena dengan sambutan ulang tahun hotel itu yang ke-10, lapor agensi berita al-Arabiya.

Kasut rekaan Debbie Wingham dengan kerjasama Chris Campbell ini dihiasi lebih 1,000 butir berlian yang dipasang pada logam platinum dan jongkong emas sempurna 24 karat di atas piring khas dijahit halus.

Bukan itu sahaja, kasut tersebut juga mempunyai dua butir batu berlian merah jambu 3-karat, yang bernilai 16.2 juta dirham (RM18.7 juta) dan dua lagi berlian biru satu karat bernilai 7 juta dirham (RM8 juta).


Turut dipasang ialah empat berlian putih tulen seberat tiga karat setiap satu yang tidak pula didedahkan harganya. Ia bakal dimiliki oleh seorang pelanggan yang dirahsiakan identitinya atas faktor keselamatan.

Wingham amat dikenali dalam arena fesyen antarabangsa kerana pernah menghasilkan gaun paling mahal di dunia pada 2012 lalu dengan bertatahkan dua butir berlian yang berwarna hitam sebesar 50 karat.

Setahun kemudian, wanita warga British ini mengeluarkan set abaya temahal di dunia yang bertatahkan beberapa butir berlian nadir sebelum mencipta kek paling mahal pula untuk seorang pelanggan di UAE.

“Kebanyakan pelanggan saya hanya memakai kasut sebegini sekali atau dua kali sahaja sepanjang hidup mereka sendiri mungkin dalam acara khas tertentu,” kata Wingham. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments