Monday 9 October 2017

Wartawan Jepun Maut Kerja Lebih Masa 159 Jam


TOKYO – Stesen penyiaran kebangsaan Jepun, NHK, berjanji semak semula amalan kerja selepas seorang wartawan muda mati akibat bekerja lembur selama lebih 159 jam dalam masa sebulan.

Media tempatan melaporkan ketika kejadian, Miwa Sado, yang waktu itu baru berusia 31 tahun, sedang membuat liputan politik di Tokyo. Beliau ditemui mati di katilnya sambil memegang telefon bimbit pada Julai 2013.

Setahun kemudian, pihak berkuasa Jepun mengesahkan kematiannya ada kaitan dengan kerja lembur atau lebih masa yang keterlaluan. Mendiang hanya mempunyai dua hari cuti dalam bulan sebelum beliau meninggal dunia.

Bagaimanapun NHK akhirnya mendedahkan kes ini kepada orang awam empat tahun kemudian, ekoran ‘paksaan’ ibu bapa Miwa yang bertekad mengambil tindakan agar orang lain tidak ditimpa nasib malang seperti mereka.

Kes seperti ini mendedahkan masalah di Jepun apabila masih terdapat kematian akibat kerja sedemikian. Ia dikenali sebagai ‘karoshi’ dalam bahasa tempatan di tengah-tengah budaya Jepun yang panjang waktu bekerja.

Kes nadir sebegini sesuatu yang memalukan bagi pihak NHK sendiri kerana sebelum ini agensi penyiar nasional tersebut sering berkempen secara terbuka bagi membantah waktu bekerja panjang di negara matahari terbit itu.

Miwa ditugaskan untuk membuat liputan kempen pilihan raya kebangsaan di sekitar Tokyo pada bulan Jun 2013 lalu dan proses undian pihak berkuasa bagi sesi pemilihan anggota parlimen pada bulan berikutnya.


Mendiang meninggal dunia tiga hari selepas pilihan raya akibat kegagalan jantung yang tidak cukup berehat. Ibunya memberitahu agensi berita Asahi: “Hancur hati saya apabila memikirkan dirinya mungkin mahu menelefon saya.

“Dia dikatakan cuba menghubungi saya pada saat-saat terakhirnya dengan telefon masih di tangan. Dengan pemergian Miwa, separuh nyawa saya seolah-olah sudah tiada. Saya tidak berupaya ketawa sepanjang hayat.”

Kisah Miwa ternyata mengejutkan negara itu kerana NHK selama ini aktif melaporkan kematian tragis di syarikat lain, termasuk berita tragik seorang wanita muda dalam agensi pengiklanan Dentsu maut pada 2015 lalu.

Mangsa dilaporkan terpaksa bekerja lembur selama lebih 100 jam dalam masa sebulan. Presiden NHK, Ryoichi Ueda pada Khamis dilaporkan sedia berikrar akan memperbaiki amalan kerja berlebihan di perbadanan itu.

“Kami meminta maaf kepada keluarga Miwa atas pemergiannya. Beliau merupakan seorang wartawan yang sangat baik dan kami menganggap serius kematian mendiang yang berkaitan dengan cara tempat kerja,” katanya.

NHK diwujudkan sejak 1924 diuruskan kerajaan Jepun di bawah akta Parlimen. Ryoichi seterusnya menambah: “Kami terus mengusahakan pembaharuan dan bekerjasama dengan ibu bapanya.” – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments