TUMPAT - Bunyi aneh suara nyaring seperti seorang lelaki bertempik yang datangnya dari kawasan tanah perkuburan gemparkan penduduk kampung Cherang Melintang.
Suara yang menyeramkan itu didengari seorang penduduk dua minggu lalu ketika berada di rumahnya bersebelahan tanah Perkuburan Islam Mukim Jal Besar.
Sejak itu, cerita misteri suara dari kubur mula tersebar dari mulut ke mulut sehingga ada penduduk mula rasa takut dan ada juga yang menganggap ianya cerita tahyul.
Ia juga menjadi perbualan hangat netizen di laman sosial apabila status misteri suara aneh dari kubur itu dimuatnaik di media sosial semalam.
Mahadi Mat Salleh, 45, berkata tiga kali dia mendengar suara lelaki bertempik yang menyeramkan sehingga bulu romanya meremang.
"Suara itu jelas kedengaran dan amat nyaring bunyinya sehingga mengejutkan saya, tiga kali saya dengar ia bertempik.
"Ketika itu saya berada di belakang rumah kira-kira jam 10 malam kerana mahu mengambil tukul," katanya. - Sinar Harian
Suara dari kubur mungkin gangguan iblis, kata mufti Kelantan
Suara aneh seakan “lelaki bertempik” dari tanah perkuburan di Tumpat, mungkin gangguan iblis dan syaitan yang mahu menakutkan manusia, kata mufti Kelantan.
Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata makhluk itu wujud dan mereka boleh meniru suara atau menyerupai sesiapa hidup atau telah meninggal dunia, lapor Sinar Harian.
“Begitu pun keadaannya, manusia tidak seharusnya takut, sebaliknya hantu yang perlu takut pada manusia kerana iblis adalah kuli manusia.
“Jika kita takut, macam kita pula kuli mereka,” katanya, memetik surah Al-Baqarah ayat 30 berkaitan peranan manusia sebagai khalifah (pemimpin) di bumi.
Tokoh agama itu mengulas dakwaan staf Majlis Daerah Tumpat Mahadi Mat Salleh yang beberapa kali mendengar suara lelaki dan perempuan bertempik dari tanah perkuburan di Kampung Cherang Melintang.
Mohamad Shukri menasihatkan agar tidak mengaitkan suara misteri itu dengan sesiapa yang meninggal dunia untuk mengelakkan perbalahan, sebaliknya berdoa yang baik-baik.
Katanya, jika orang ramai mahu mengaitkan suara itu dengan seksa kubur maka ia memang wujud tetapi hanya nabi sahaja yang boleh mendengarnya.
“Dan setara mana sekalipun kekuatan orang biasa, tidak akan boleh hingga dapat mendengar jeritan seksaan kubur,” katanya. - Malaymailonline
No comments:
Write comments