Thursday, 6 April 2017

Perkahwinan Hantu: Sanggup Bayar Mahal Untuk Curi Mayat Wanita


Penduduk kampung sanggup membayar harga mahal untuk mendapatkan mayat wanita untuk dikebumikan di sebelah kubur atau mayat lelaki yang tidak berkahwin.

Ketika masyarakat Cina di negara 1.3 bilion melawat dan membersih kubur kaum keluarga yang telah meninggal sebagai penghormatan minggu ini dan minggu lalu, media di sini mendedahkan aspek negatif amalan tradisional mengenai kematian.

Xinhua seperti dilaporkan Korea Times mendedahkan pasaran gelap aktiviti mencuri mayat. Kaum keluarga mendapatkan mayat wanita untuk dikuburkan di sebelah lelaki yang belum kahwin di dunia, supaya dia tidak tinggal keseorangan atau kesepian di dunia lain.

Amalan yang dikenali sebagai perkahwinan hantu sebenarnya diharamkan kerajaan China pada 1949, namun terus semarak di kampung-kampung di pedalaman, terutama di sebelah utara.

Perniagaan berkenaan menguntungkan terutama bagi penjenayah yang sanggup melakukan pembunuhan untuk mendapatkan mayat, apatah lagi ada keluarga yang sanggup membayar ratusan ribu yuan untuk sekujur mayat.


Di Hongtong, kata laporan Xinhua, kawasan berpenduduk 760,000 di wilayah Shanxi, 27 mayat wanita telah dilaporkan hilang sejak 2013. Jumlah sebenar mungkin lebih tinggi daripada itu.

Pada acara pembersihan kubur tahun lepas atau dikenali sebagai Ching Ming, seorang penduduk dikatakan berbelanja US$26,145 atau RM112,000 bagi mendapatkan mayat seorang perempuan muda untuk dikebumikan dengan mayat anak lelakinya.

Seorang lagi penduduk berbelanja 3,000 yuan untuk mendapatkan mayat wanita pada 2015 untuk dipasangkan dengan abangnya yang telah meninggal.

Sejak 2012, mahkamah jenayah telah membuat keputusan terhadap 40 kes perkahwinan hantu.

Laporan itu berkata, untuk memastikan mayat tidak dicuri, ada daripada penduduk pedalaman tidur di kubur untuk beberapa minggu selepas kematian, serta mematikan kubur disimen, malah ada yang menguburkan mayat di dalam kampung. – Sarawakvoice

    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments